Tidak semua topeng muka adalah sama dari segi penapisan yakni keberkesanannya. Secara umumnya sungkup-sungkup respirator adalah lebih berkuasa berbanding sungkup-sungkup muka yang biasa-biasa.Terdapat beberapa jenis sungkup-sungkup respirator.
Sungkup respirator paling sesuai buat golongan awam adalah sungkup jenis N95. Sungkup ini paling murah dan agak selesa bila dipakai. Berikut adalah 6 langkah kaedah pemakaian sungkup N95 yang sebetulnya:
Langkah 1: Letakkan sungkup dalam tapak tangan dengan kedua-dua getah pelilit dibiarkan terkulai di belakang tapak tangan berkenaan.
Langkah 2: Pegang getah pelilit yang di sebelah bawah lalu padankan serta rapatkan sungkup ke arah muka dengan memastikan kepingan metal pendakap hidung menghadap ke hadapan.
Langkah 3: Rapatkan bahagian terbawah sungkup N95 ke bawah dagu dan tarik getah pelilit bagi menyarungi kepala dan atur supaya getah pelilit berada di bawah paras telinga pada kedudukan paling selesa.
Langkah 4: Lurutkan jari dari dua belah tangan pada pendakap hidung agar bentuknya mengikut acuan pangkal hidung tadi dan supaya dengan itu sentuhan bagi alat dan kulit di pangkal hidung menjadi kedap udara.
Langkah 5: Tarik getah pelilit atas dan sarungkan ke kepala. Letakkan lilitan ini di sebelah atas telinga pada kedudukan paling selesa.
Langkah 6: Tekup alat dengan dua belah tapak tangan secara ringan sahaja agar kedudukan alat tidak diganggu. Hembus nafas secara deras dan perhatikan sama ada berlaku kebocoran atau tidak. Kalau kebocoran berlaku di pangkal hidung, lurutkan kembali pendakap hidung agar menjadi lebih kedap udara. Kalau kebocoran berlaku antara kulit muka dan bahagian tepi alat, lakukan ubahsuai pada kedudukan getah pelilit kepala.
Kemaskini: 19/9/2019
Ulasan