Kanser Menunjukkan Tren Menaik Dalam Kalangan Melayu


Kanser pembunuh


Kanser merupakan penyebab kematian kedua tertinggi di dunia dan di Malaysia pada tahun 2018. Ia menyumbang kepada 9.6 juta kematian di dunia dan 16 ribu kematian di Malaysia. Oleh sebab jumlah kematian akibat kanser adalah tinggi, maklumat terkini beban kanser dalam populasi amat diperlukan dalam menentukan tren penyakit tersebut di Malaysia.


Bagi tujuan ini, Institut Kanser Negara telah menerbitkan laporan 5-tahun kedua, Malaysia National Cancer Registry Report 2012 - 2016 (MNCRR) yang merupakan kesinambungan kepada laporan pertama MNCRR 2007 - 2011 yang diterbitkan pada tahun 2016. Tujuan utama penerbitan laporan ini adalah untuk melihat tren insiden dan beban kanser di Malaysia bagi tempoh 10 tahun iaitu dari tahun 2007 hingga 2016.


Laporan terkini menunjukkan terdapat peningkatan bilangan kes baharu yang dikesan dalam tempoh 2012 - 2016 iaitu 115,238 kes berbanding dengan 103,507 kes bagi tempoh 2007 - 2011 dengan kadar insiden (Age Standardised Incidence Rate) sebanyak 86 kes bagi setiap 100,000 populasi lelaki dan 102 kes bagi setiap 100,000 populasi perempuan. Bagi tempoh 2012 – 2016, sepuluh (10) jenis kanser tertinggi yang dikesan dalam kalangan rakyat Malaysia mengikut keutamaan ialah kanser payudara, kolorektal, paru-paru, limfoma, nasopharynx, leukemia, kelenjar prostat, hati, pangkal rahim (serviks) dan ovari.


Analisis seterusnya mengikut jantina mendapati kanser tertinggi dalam kalangan lelaki ialah kanser kolorektal diikuti oleh kanser paru-paru dan kelenjar prostat. Manakala yang tertinggi dalam kalangan perempuan ialah kanser payudara diikuti oleh kanser kolorektal dan pangkal rahim. Kanser yang paling kerap dikesan dalam kalangan kanak-kanak berusia 0 - 14 tahun pula ialah leukemia dan kanser sistem saraf tunjang, manakala dalam kalangan remaja berusia 15 - 24 tahun adalah limfoma.


Kadar kejadian kanser pangkal rahim telah menurun dengan ketara iaitu dari lapan (8) kes kepada enam (6) kes bagi setiap 100,000 populasi perempuan di Malaysia. Penurunan ini berkemungkinan disebabkan oleh kempen pengesanan awal melalui ujian pap smear yang disediakan oleh kerajaan di semua fasiliti kesihatan. Walau bagaimanapun, terdapat peningkatan insiden yang ketara pula dilihat untuk kanser payudara dan kolorektal.


Analisis mengikut etnik pula menunjukkan kaum Cina paling kerap dikesan menghidap kanser diikuti oleh kaum Melayu dan India. Untuk setiap 100,000 populasi berbangsa Cina didapati 106 lelaki dan 117 perempuan menghidap kanser. Dalam kalangan kaum Melayu, lelaki dan perempuan masing-masing menunjukkan kadar insiden sebanyak 74 kes dan 91 kes bagi setiap 100,000 populasi. Bagi kaum India, kadar insiden yang dicatatkan adalah sebanyak 67 kes lelaki dan 107 kes perempuan bagi setiap 100,000 populasi. Walau bagaimanapun jika dibandingkan dengan laporan pertama, terdapat penurunan kadar insiden dalam kalangan kaum Cina dan India sementara peningkatan kadar insiden dilihat dalam kalangan kaum Melayu.


Selain itu, kes yang dikesan lewat pada tahap tiga (3) dan empat (4) didapati meningkat dari 58.7 peratus pada tahun 2007 - 2011 kepada 63.7 peratus pada tahun 2012 - 2016. Penemuan ini membimbangkan kerana kajian ‘Malaysian Study on Cancer Survival’ yang telah diterbitkan pada Oktober 2018 menunjukkan semakin lewat kanser dikesan, semakin rendah kadar survival pesakit. Oleh itu, kerjasama pelbagai pihak amat diperlukan dalam mengenal pasti ruang penambahbaikan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat dan akses kepada pengesanan dan rawatan awal.


Proses


1. Proses penyediaan laporan secara berkala 5-tahun:


1.1 Data kanser setiap tahun perlu melalui beberapa proses pemurnian sebelum dimuktamadkan dan dianalisis untuk memastikan data adalah lengkap serta berkualiti.


1.2 Laporan berdasarkan data yang tidak lengkap atau tidak tepat boleh memberikan maklumat yang salah kepada pihak yang berkepentingan dan orang ramai mengenai beban sebenar kanser di Malaysia.


>

1.3 Prosedur ini menepati standard yang dipersetujui di peringkat antarabangsa1.


1.4 Proses ini akan mengambil masa kerana merangkumi aktiviti berikut:


(a) pengesanan secara aktif dilakukan bagi memastikan semua kes bagi tahun tersebut telah dilaporkan; dan


(b) pengauditan setiap kes dilakukan agar maklumat yang dilaporkan tepat, lengkap dan tiada duplikasi.


2. Menurut kajian ‘Malaysian Study on Cancer Survival’, nisbah risiko kematian akibat kanser yang dikesan pada tahap empat (4) kepada tahap satu (1) (Tahap 4 : Tahap 1) adalah seperti berikut:


2.1 Kanser payudara sebanyak 7.52 kali ganda lebih tinggi.


2.2 Kanser pangkal rahim sebanyak 5.45 kali ganda lebih tinggi.


2.3 Kanser kolorektal sebanyak 3.86 kali ganda lebih tinggi.


3. Perbandingan di antara laporan MNCRR 2007 – 2011 dan MNCRR 2012 – 2016 bagi kadar insiden mengikut etnik (bagi setiap 100,000 populasi):


LAPO-RAN MNCRR 2007 - 2011 MNCRR 2012 - 2016
Jantina
Bangsa
lelaki wanita lelaki wanita
Melayu 70.7 81.9 73.6 90.9
China 81.9 73.6 90.9 90.9
India 81.9 73.6 90.9 90.9

Secara keseluruhan, boleh dirumuskan bahawa laporan terkini ini menunjukkan peningkatan beban kanser dalam kalangan penduduk Malaysia. Maklumat ini perlu dimanfaatkan oleh semua pihak yang berkepentingan dalam perancangan dan penilaian keberkesanan program kawalan dan pencegahan kanser. Laporan ini juga boleh dimuat turun melalui pautan http://nci.moh.gov.my. Sekian, terima kasih.


DATUK DR NOOR HISHAM ABDULLAH


KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA


Pada: 3 Januari 2020


Last-Modified:Thursday, 16 December 2021

Ulasan

Terbaru

⬅Tatal ke kiri

AKAN DATANG

Animasi elektromagnetik dan fotoelektrik: artikel mengenai foton dan perubatan akan muncul tak lama lagi.

Efek Fotoelektrik

Oleh Infomedikini

Anod Katod - + Wayar Bateri Meter Amp Ulang

Animasi fotoelektrik

Animasi penjanaan X-ray

Oleh Infomedikini

Pecutan elektron Elektron Nukleus X-ray Ulang Maaf, browser anda tidak menyokong SVG
Covid-19
Pandemik

⬅Tatal ke kiri