Temasek Paling Terkesan Dengan Gelombang Kedua Covid-19 Di Sebelah Luar China


Oleh Infomedikini






Gelombang Covid-19 masih lagi membadai meskipun setelah dua bulan ianya bermula. Meskipun jumlah kes yang terkesan dek jangkitan sudah mencecah 75000 jangkitan dan 2000 maut namun virus korona pencetus wabak Wuhan-19 itu masih lagi aktif menjana dan menularkan gelombang-gelombang baru.


Sesungguhnya masalah yang ditimbulkan oleh Covid-19 bukan saja besar dan berat malah menjangkau berbagai-bagai sektor dan kepentingan. Atas dasar itu apa saja cerita dan berita mengenai Covid-19 akan mendapat keutamaan untuk mengisi ruang sebaran am dan laman pembacaan.


Kalau sebelum ini kebanyakan maklumat penuh atau penting mengenai wabak penyakit berjangkit sering disembunyikan atas sebab-sebab tertentu tetapi kini banyak yang sudah berubah. Sekarang ini apa jua kategori maklumat mengenai wabak boleh di akses menerusi laman sesawang dan meskipun sebelum ini ada akses yang dikenakan bayaran tetapi khusus bagi isu Covid-19 segala maklumat berharga mengenainya boleh dicapai tanpa yuran langganan.


Cumanya bila maklumat yang datang terlalu pantas dan bertalu-talu timbul pula isu tak cukup masa untuk mengejar dan menkhatam maklumat-maklumat yang ada. Justeru adalah lebih realistik kalau sekiranya tumpuan diberikan kepada maklumat-maklumat yang dapat membimbing reaksi dan respons kendiri terhadap situasi dan masalah yang diakibatkan oleh Covid-19.


Statistik


Statistik menunjukkan kepantasan gelombang Covid-19 menular adalah menyamai kepantasan influenza. Statistik juga menunjukkan dalam tempoh dua bulan ini saja Covid-19 sudah menjejakkan kakinya di 26 buah negara termasuk China. Namun statistik di laman Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) menunjukkan bilangan jangkitan di kawasan yang terkesan adalah tidak sekata taburannya.


Taburan tertinggi jangkitan Covid-19 adalah di Hubei China yang menjadi pusat pemula bagi gelombang Covid-19 menular dan setakat ini jumlah yang dijangkiti di Hubei saja sudah mencecah angka 62000.


Bagi lain-lain kawasan yang terletak lebih jauh daripada pusat gelombang di Hubei tetapi masih berada dalam lingkungan sempadan China, bilangan jangkitan adalah jauh lebih rendah iaitu sekitar 12000 kes setakat ini.


Gelombang Covid-19 adalah seperti gelombang suku sakatnya yang lain (SARS-Cov dan MERS-Cov) iaitu tidak mampu dikekang oleh persempadanan antarabangsa hinggakan Laut China Selatan mudah diseberangi.


Sungguhpun begitu gelombang jangkitan yang mampu ditularkan di luar China adalah berkali-kali lebih rendah iaitu kurang daripada 1000 kes meskipun usia wabak sudah masuk 2 bulan.


Bilangan kes jangkitan yang jauh lebih rendah di luar China adalah gambaran tipikal bagi gelombang yang bergerak keluar daripada pusat gelombang atau epicenter yang secara naturalnya akan kehilangan tenaga sedikit demi sedikit bila berada di pinggiran dan akhirnya menjadi terlalu lemah lalu lenyap dengan sendirinya.


Singapura (atau Temasek) adalah antara negara-negara yang berada dalam laluan gelombang penularan Covid-19. Negara yang terletak dihujung selatan Tambak Johor itu adalah negara bukan China yang mencatatkan jumlah kes di daratan paling tinggi iaitu 85 jangkitan.


Kesudahan yang lazim bagi sebuah gelombang ialah apa jua magnitud asalnya magnitud akhirnya adalah sifar jua. Ketiadaan negara-negara baru dilanda gelombang Covid-19 selama 7 hari berturut-turut adalah petanda baik yang membolehkan negara-negara yang masih bebas daripada landaan gelombang Covid-19 menarik nafas lega.


Gelombang Kedua


Sungguhpun momentum gelombang pertama Covid-19 sudah menurun secara beransur-ansur namun tidak semestinya wabak tersebut berada di pengakhiran. Ini kerana seperti juga bencana banjir ada masanya gelombang pertama akan disusuli oleh gelombang kedua.


Gelombang kedua Covid-19 boleh terbentuk apabila jangkitan yang diimport dari negara asal wabak iaitu Wuhan China dibenarkan untuk menjalarkan jangkitan baru dalam negara yang terimport virus tersebut. Penjalaran setempat ini kalau tak dibendung akan mampu mengembangkan wabak terimport menjadi wabak gelombang kedua.


Berikut adalah senarai negara-negara yang mengalami penjalaran setempat yang sekiranya mengembang akan berpotensi menghasilkan gelombang kedua:


  1. Singapura 54 kes; dalam siasatan 8 kes
  2. Jepun 42 kes
  3. Vietnam 8 kes
  4. Thailand 5 kes
  5. German 14 kes
  6. Peranchis 7 kes
  7. Amerika 2 kes
  8. Arab Saudi 2 kes
  9. Australia 3 kes
  10. Mesir 1 kes
  11. United Kingdom 1 kes

Senarai di atas menunjukkan penjalaran setempat paling banyak berlaku di Temasek iaitu 54 jangkitan. Walhal jumlah jangkitan Covid-19 yang terimport adalah 23 kes. Ini bermakna penjalaran setempat telah mengatasi bilangan jangkitan yang terimport.


Epidemiologi


Epidemiologi adalah kajian yang dapat mengesan lokasi dan keadaan yang membolehkan penjalaran setempat berlaku seperti di Temasek. Laporan dari laman rasmi MOH Temasek mendapati penjalaran setempat boleh terjadi dengan berbagai jenis kontak: kontak dekat, kontak terbuka, kontak bilik mesyuarat, kontak pejabat, kontak rumah ibadat dan kontak di tapak binaan.


Temasek telah dilanggar oleh bermacam wabak dan peristiwa termasuklah dongeng Temasek Dilanggar Todak. Adiwira dalam dongeng tersebut adalah Hang Nadim dan kaedah yang digunakan bagi menghalang terjahan todak adalah batang-batang pisang.


Bila Temasek dilanggar gelombang kedua Covid-19 ia bukanlah dongeng tetapi situasi benar. Langkah-langkah segera yang Temasek ambil bagi menghalang lebih banyak penjalaran setempat adalah dengan berpaut erat pada panduan yang terkandung di dalam "Disease Outbreak Response System Condition" (DORSCON). Berdasarkan situasi semasa, DORSCON meletakkan Temasek dalam zon oren.


Gelombang kedua yang belum menoktahkan dirinya adalah pembangkit kerisauan di Temasek dan kerisauan itu menjalar bebas ke negara-negara tetangga terdekat. Selain DORSCON dan beberapa langkah-langkah baru, kemunculan adiwira Soaper 5 adalah benteng terakhir yang mampu menghalang perebakan gelombang kedua Covid-19.


Mesej Hang Nadim

Mesej kecil Hang Nadim kontemporari yang besar kegunaannya.


Dunia merenung dengan suspens perkembangan di Temasek. Pendekatan proaktif dan pre-emptive yang Temasek gerakkan adalah diyakini mampu membebaskan negerinya daripada amukan ganas walfatal todak moden a.k.a Covid-19.


Last-Modified: Wed, 26 Jan 2022 12:00:03 GMT


Home🏠


Ulasan

Terbaru

⬅Tatal ke kiri

AKAN DATANG

Animasi elektromagnetik dan fotoelektrik: artikel mengenai foton dan perubatan akan muncul tak lama lagi.

Efek Fotoelektrik

Oleh Infomedikini

Anod Katod - + Wayar Bateri Meter Amp Ulang

Animasi fotoelektrik

Animasi penjanaan X-ray

Oleh Infomedikini

Pecutan elektron Elektron Nukleus X-ray Ulang Maaf, browser anda tidak menyokong SVG
Covid-19
Pandemik

⬅Tatal ke kiri