Kenali Persamaan Dan Perbezaan Penyakit-Penyakit Cacar
Oleh: Infomedikini
Pada: 26 Mei 2022
Penyakit cacar boleh menyerang haiwan dan manusia. Punca bagi penyakit ini adalah jangkitan oleh beberapa jenis virus.
Penamaan penyakit cacar pada haiwan adalah berdasarkan jenis haiwan yang dijangkiti. Oleh itu ada nama-nama seperti sheep pox, horse pox, fowl pox, goat pox, swine pox dan sebagainya.
Tanda-tanda yang menyerlah bagi penyakit cacar adalah pembentukan lesi pada kulit.
Pengamatan dan perincian ke atas lesi akan sedikit sebanyak dapat membezakan satu penyakit cacar dengan penyakit cacar yang lain.
Ada 4 jenis penyakit cacar yang lesinya nampak sama tetapi sebenarnya tidak serupa. Mereka adalah chickeppox (cacar air), monkeypox (cacar monyet), cowpox (cacar lembu) dan smallpox (cacar variola).
Chickenpox
Chickenpox atau cacar air adalah penyakit akut dan amat mudah berjangkit. Virus yang menyebabkan chickenpox adalah varicella-zoster iaitu kumpulan herpesvirus.
Chickenpox adalah penyakit demam yang disusuli oleh kemunculan ruam gatal pada kulit. Lesi chickenpox bermula dengan ruam merah di bahagian dada, belakang, kepala dan muka. Lesi kemudiannya akan merebak ke serata badan. Biasanya lebih banyak ruam dibahagian badan dan kepala berbanding tangan dan kaki.
Lesi chickenpox dibahagikan kepada 3 peringkat:
- Peringkat awal iaitu kemunculan ruam merah.
- Peringkat pertengahan iaitu kemunculan lepuh.
- Peringkat akhir iaitu lepuh menjadi kering dan berkeropeng.
Pengamatan dan perincian ke atas lesi mendapati ianya terdiri daripada berbagai peringkat. Ada ruam merah, ada lepuh berair dan ada lepuh kering serta berkeropeng (imej-1).
Imej-1: Lesi chickenpox muncul dengan berbagai peringkat
Setelah 3 hari kemunculannya, lepuh cacar air akan mula pecah, menjadi kering dan seterusnya membentuk keropeng (Imej-2). Sentuhan pada lepuh yang belum berkeropeng adalah salah satu saluran yang boleh memindahkan jangkitan cacar air.
Imej-2: Perubahan yang berlaku kepada lepuh
Smallpox
Smallpox sudah pupus semenjak 1980 namun ia terus diingati kerana skala jangkitan dan fataliti yang ditimbulkan adalah sukar untuk dilupakan.
Pupusnya smallpox bermakna tiada lagi jangkitan semula jadi boleh berlaku. Meskipun begitu, smallpox masih boleh ditularkan dalam serangan biologi.
Tidak seperti lesi chickenpox yang terdiri daripada berbagai peringkat, lesi smallpox adalah sama peringkat (Imej-3).
Imej-3 :Keseragaman lepuh pada smallpox.
Cowpox
Cowpox belum pupus tetapi hanya kes sporadik berlaku dari semasa ke semasa. Jangkitan paling klasik dalam sejarah adalah kepada wanita pemerah susu lembu.
Selain lembu, cowpox juga boleh menular melalui kontak dengan haiwan (roden, kucing dll) yang dijangkiti.
Lesi cowpox berwarna merah (Imej-4) dan hanya bertumpu pada satu tempat yakni tidak merebak ke serata tubuh.
Imej-4: Lesi cowpox.
Kredit buat MDPI Open Access Jurnals
Tidak seperti sentuhan pada lepuh chikenpox yang akan menularkan jangkitan sebaliknya sentuhan pada lepuh cowpox tidak akan memindahkan jangkitan kepada orang lain.
Monkeypox
Monkeypox atau 'cacar monyet' adalah jangkitan virus daripada genus Orthopoxvirus.
Penyakit ini mula dijumpai pada monyet makmal pada 1958 makanya diberikan nama sedemikian itu. Meskipun namanya dikaitkan dengan monyet namun kebanyakan jangkitan sebenarnya berlaku pada kucing dan roden.
Virus monkeypox adalah 'saudara terdekat' bagi virus smallpox makanya simptom dan tanda-tanda penyakit monkeypox dan smallpox adalah hampir-hampir sama.
Sungguhpun begitu kehadiran bengkak kelenjar limfa pada monkeypox membezakannya dengan smallpox.
Monkeypox juga boleh dibezakan dengan chickenpox. Lesi pada monkeypox adalah sama seperti smallpox iaitu sama peringkat (Imej-5), sedangkan lesi pada chickenpox pula terdiri daripada berbagai peringkat (Imej-1).
Imej-5: Lesi lepuh monkeypox.
Selama ini monkeypox hanya menular pada skala endemik di beberapa negara Afrika dengan kadar fataliti 3-11 peratus.
Di luar kawasan endemik keberadaan monkeypox telah mula dilaporkan di Portugal, Sepanyol United Kingdom, USA dan beberapa negara Eropah.
Bila monkeypox menular di kawasan yang belum pernah ada kes sebelumnya, meskipun di negara maju dan meskipun belum ada kematian dilaporkan namun tanpa natural imunity monkeypox tentunya akan diberikan perhatian dan tumpuan.
Dan bersandarkan kepada pengalaman daripada COVID-19, bidalan ini dijangkakan akan kekal sebagai senjata terampuh bagi berdepan dengan monkeypox -- 'mencegah adalah lebih baik dari merawat'
Rujukan:
1. Monkeypox - WHO
2. Monkeypox - NHS
3. Poxvirus Diseases - CDC
Last-Modified: Thu, 26 May 2022 22:09:56 GMT
Ulasan