Tidak Kurang Daripada Kerjasama Berskala Global Mampu Menangani Pandemik Ini
Oleh: Infomedikini
Khamis, 3 Jun 2021 11:34:22 GMT
Jadual Kandungan:
1. Keunikan virus pandemik | 2. Persediaan hadapi pandemik |
---|---|
3. Skala kebahayaan pandemik | 3. Skala kebahayaan pandemik |
4. Perisai | 5. Peluang yang berlalu |
6. Manfaatkan peluang ketiga | 7. Teruskan doa |
Pandemik COVID-19 adalah serangan teratur yang dilancarkan oleh virus maut yang berpotensi menjangkiti mana-mana individu yang terdedah, rentan dan berisiko. Kesannya adalah wabak berskala global dengan impak langsung terhadap sektor kesihatan dan tidak salah mengatakan ia adalah impak terburuk di abad ini. Tidak terhad dengan itu, pandemik ini juga menimbulkan rantaian impak-impak tidak langsung yang menjejaskan hampir kesemua sektor-sektor yang ada.
1. Keunikan virus pandemik
Virus adalah partikel halus tanpa nyawa tetapi ia seolah-olah hidup dan mampu menggandakan bilangan hingga beberapa generasi. Ia juga tidak memiliki otak tetapi bijaksana dalam mengekalkan kelangsungannya. Akhir sekali tetapi bukan yang terakhir adalah meskipun tidak memiliki senjata tetapi mereka mampu melancarkan perang bukan konvensional.
Terimalah pandemik ini sebagai satu ujian dalam bentuk musibah yang di ditimpakan ke atas seluruh penduduk bumi. Dengan jangkauan dan kebinasaan yang tidak ada tolok bandingnya, hanya petunjuk dan pertolongan dari Ar-Rahman yang mampu menampakkan sinar di hujung terowong.
2. Persediaan hadapi pandemik
Pandemic Preparedness Plan adalah strategi yang diilhamkan ke dalam WHO bagi berhadapan dengan sebuah pandemik. Ia membolehkan dunia bergerak secara bersistematik dan dalam langkah yang sedondon.
Cumanya dalam dunia yang dipisah-pisahkan oleh sempadan dan blok-blok yang berlainan, apa jua saranan dan rayuan demi kebaikan rentas sempadan dan blok akan terlebih dahulu disesuaikan dengan kefahaman, pendirian dan kepentingan masing-masing.
3. Skala kebahayaan pandemik
1 tahun 4 bulan telah berlalu daripada tarikh pandemik ini diisytiharkan sebagai Public Health Emergency of International Concern (PHEIC) dan dalam tempoh itu 171,034,625 individu telah disahkan mendapat jangkitan dan daripada jumlah itu seramai 3,557,281 individu telah terkorban.
Angka-angka yang besar dan durasi yang lama itu adalah bukti akan potensi dan kelicikan yang dimiliki oleh virus pandemik. Kesudahan pandemik ini belum nampak akan kepastiannya makanya apa jua peluang dan kesempatan yang mampu memberikan himpitan kepada wabak ini harus tidak dibiarkan berlalu begitu sahaja.
4. Perisai
Vaksin adalah ibarat pucuk dicita ulam mendatang: ia adalah perisai ampuh dan kini sudah berada di depan mata. Vaksin yang lahir dari petunjukNya jua pastinya adalah peluang paling berkemungkinan untuk dapat mendepani kelicikan dan kekentalan virus SARS-CoV-2.
Di atas kertas, program vaksinasi harus boleh disampaikan ke segenap penjuru bumi dan diakses oleh seramai mungkin individu yang layak namun hambatan demi hambatan membuatkan matlamat akhir yang disasarkan menerusi program sebegini kelihatan masih jauh panggang dari api.
Justeru, apa saja peluang yang dilihat mampu merintangi momentum pandemik harus dimanfaatkan seawal dan sebaik mungkin. Logik akal mengatakan bahawa peluang untuk menghasilkan cahaya di hujung terowong yang lebih cerah daripada pemanfaatan berbilang ruang dan peluang adalah lebih tinggi berbanding kebergantungan kepada satu peluang semata-mata.
5. Peluang yang berlalu
Sedar atau tidak dunia telah terlepas 2 peluang untuk menyukarkan kemaraan COVID-19. Peluang pertama hadir di awal-awal penularannya iaitu sebelum PHEIC diumumkan. Sebaik sahaja virus berjaya keluar daripada episenter (Wuhan, China) naratif seterusnya adalah dalam konteks nasi sudah jadi bubur.
Peluang kedua tiba dalam musim panas Jun, 2020. Adapun pada ketika itu pandemik sedang memuncak dan bumi dibanjiri oleh varian-varian tegar lagi ganas. Amatlah rugi apabila sanitasi hemisfera utara yang dilakukan oleh sang suria pada masa itu tidak dilihat sebagai satu peluang untuk mengurangkan transmisi sebaliknya aktiviti riadah yang jelas meningkatkan risiko penularan pula yang di tingkatkan.
Dua peluang berlalu begitu sahaja. Namun setiap doa yang bersungguh-sunguh dan berterusan akan sentiasa diperkenankan oleh Al-Hakam yang Maha Mendengar dan Memperkenankan. Cumanya bantuan yang datang dariNya itu tidak semestinya dalam bentuk yang boleh dilihat, dihitung atau dijangka-jangka.
6. Manfaatkan peluang ketiga
Dunia kini diberi peluang ketiga dalam bentuk ribut solar. Matahari dan sinarannya adalah keistimewaan yang diberikan oleh Al-Hakam buat kehidupan di bumi. Sinaran suria yang berterusan terbukti mampu memusnahkan virus dalam tempoh 20 minit. Lebih dari itu, ribut solar akan menyirami bumi iaitu sekali dalam tempoh sedasawarsa dengan peranan dan kuasa yang lebih besar.
Efek sanitasi matahari ke atas bumi adalah tidak menyeluruh kerana sinaran yang tidak sekata yakni kalau hemisfera utara menerima matahari yang banyak sebaliknya hemisfera selatan menerima sinaran yang paling sedikit. Dengan itu sanitasi matahari tidak berlaku secara serentak dan tidak menyeluruh.
Meskipun ribut solar berlangsung hanya beberapa minit sahaja namun kesannya adalah menyeluruh dan berterusan selama beberapa hari. Ini bermakna sanitasi bumi berlaku secara serentak dan keseluruhan permukaan. Pastinya ini tidak mampu dilakukan oleh khudrat manusia.
Apa kata sementara ribut solar melakukan sanitasi selama beberapa hari di luar sana, warga bumi pula secara kolektif bertekad dan bersungguh-sungguh melakukan yang ini: berlindung dalam kediaman masing-masing sambil mengamalkan SOP yang sepatutnya bagi tujuan agar individu yang bebas COVID-19 terelak sepenuhnya daripada mendapat jangkitan daripada mereka yang positif COVID-19; dan begitu juga mereka yang positif mengelak sepenuhnya daripada menularkannya kepada warga bumi yang bebas COVID-19.
Sekiranya senario ini berlangsung selama 10-14 hari, hasil yang boleh dibayangkan adalah permukaan bumi yang bebas COVID-19, individu yang dijangkiti telah tidak lagi berpotensi menularkannya dan mereka yang bebas akan terus bebas. Ini bermakna rantaian jangkitan telah dengan izin Al-Hakam terputus dengan sendirinya.
Namun senario itu tidak akan berlaku kerana dunia tanpa sempadan hanya ujud dalam talian tetapi tidak di dalam minda. Sempadan yang ujud di dalam minda adalah penghalang kekal untuk warga bumi melangkah sederap meskipun pandemik ini mempertaruhkan norma-norma kebiasaan bersama.
7. Teruskan doa
Kalau ada yang bertanya: "apa yang berlaku kepada doa demi doa yang dipanjatkan selama ini"? Katakan saja perkenan dari Al-Hakam adalah sesuatu yang tersembunyi dan tidak boleh dijangkakan. Lagipun pertolongan AL-Hakam bukanlah dalam bentuk wang kertas dimasukkan ke saku atau makanan disuapkan ke mulut atau virus dighaibkan seperti dalam permainan silap mata. Untuk pertolongan Al-Hakam terus mengalir, doa harus diteruskan.
Last-Modified: Wednesday, 8 December 2021 17:09:56 GMT
Ulasan