Hampir Tiga Suku Kes Hepatitis Akut Kanak-Kanak Di UK Positif Adenovirus
Oleh: Infomedikini
Pada: 11 Mei 2022
Pandemik COVID-19 yang bermula di Wuhan China belum reda sepenuhnya, 'wabak' hepatitis akut tidak diketahui punca dalam kalangan kanak-kanak pula muncul di UK dan disusuli oleh beberapa negara-negara lain.
Pada 6 April 2022, sebanyak 60 kes hepatitis dikesan pada kanak-kanak berusia bawah 10 tahun di UK. Majoriti kanak-kanak yang terkesan adalah berusia bawah 5 tahun.
Apa itu hepatitis?
Hepatitis terjadi bila sel-sel hepar mengalami inflamasi. Inflamasi akan mencederakan sel-sel hepar ke tahap gagal berfungsi.
Ada beberapa gejala yang ditimbulkan oleh hepatitis. Gejala yang agak khusus adalah jaundis iaitu bahagian mata yang berwarna putih bertukar menjadi kuning.
Penyebab hepatitis
Biasanya disebabkan oleh pathogen berupa virus hepatitis A hingga E. Lain-lain penyebab adalah beberapa ubat seperti parasetamol, toksin, alkohol dan lain-lain pathogen.
Hepar adalah 1 daripada 5 orang-organ yang vital untuk survival. Seseorang tidak boleh hidup dengan hepar yang tidak berfungsi.
Hipotesis
Dalam kes hepatitis akut yang tidak diketahui penyebabnya, ujian yang biasa dilaksanakan terutama ke atas hepatitis A-E adalah didapati negatif.
Ujian dengan keputusan positif adalah terhadap adenovirus (72-75%) dan COVID-19 (18%). Justeru adenovirus dan COVID-19 adalah dua patogen yang diberikan prioriti teratas dalam siasatan.
Adenovirus
Ada banyak jenis adenovirus dan yang mampu menimbulkan infeksi pada manusia adalah 50 jenis. Virus ini melata atas permukaan seperti tombol pintu, barang permainan dan boleh berada dalam air di kolam renang atau tasik.
Tidak seperti SARS-CoV-2 yang tidak kebal disinfeksi, adenovirus adalah agak resistan kepada disinfeksi.
Adenovirus lazimnya menyerang saluran pernafasan dan menyebabkan selesema/batuk dan lebih teruk dari itu adalah krup, bronkitis dan pneumonia.
Lain-lain penyakit yang disebabkan adenovirus adalah gastroenteritis, konjunktivitis, sistitis dan penyakit saraf.
Apa yang membingungkan adalah tidak ada rekod yang menunjukkan adenovirus adalah penyebab hepatitis akut pada kanak-kanak yang sihat.
Sejak penemuan di UK, beberapa negara lain serata dunia mula melaporkan penemuan kes-kes hepatitis kanak-kanak yang belum diketahui penyebabnya.
Kumulatif kes hepatitis kanak-kanak setakat ini adalah UK (163), Indonesia (15), Argentina (8), Spain (13), Israel (12), the United States of America (9), Denmark (6), Ireland (5), The Netherlands (4), Italy (4), Norway (2), France (2), Romania (1), and Belgium (1).
Kronologi perkembangan kes-kes di UK:
6 April 2022 - 60 kes hepatitis kanak-kanak bawah 10 tahun dikesan di UK. Ujian biasa hepatitis A hingga E adalah negatif.
12 April 2022 - Kumulatif kes dari Januari 2022 adalah 74. Tumpuan siasatan adalah ke atas adenovirus. Namun siasatan juga melibatkan COVID-19, lain-lain infeksi, pendedahan terhadap toksin dan keadaan persekitaran.
21 April 2022 - Kumulatif kes setakat 12 April adalah 108. Memandangkan tiada kes pernah menerima vaksin COVID-19 makanya vaksin sebagai penyebab adalah ditolak sepenuhnya. Kaitan dengan adenovirus semakin ketara tetapi adenovirus bukanlah penyebab biasa hepatitis juteru perubahan kepada genom adenovirus mula dikaji. Lapan pesakit menjalani transplan hati.
25 April 2022 - Kumulatif kes meningkat kepada 111. Majoriti bawah usia 5 tahun. Hepatitis A-E terus negatif. Simptom yang dialami adalah loya dan diarea. 75 peratus postif adenovirus.
29 April 2022 - Kumulatif kes naik kepada 145. Transplan hati menokok kepada 10. Kaitan dengan adenovirus semakin kuat. Memandangkan hepatitis sangat jarang disebabkan oleh adenovirus lain-lain punca terus di siasat. Kurang pendedahan semasa lockdown antara yang turut di hipotesiskan.
6 Mei 2022 - Kumulatif kes setakat 6 Mei 2022 adalah 163. Tiada kematian tetapi transplan meningkat kepada 11. Muntah dikenal pasti sebagai gejala selain loya dan diarrea. Kaitan dengan adenovirus terus mantap. Siasatan genom diteruskan. Kajian imuniti dimulakan.
Tidak tahu atau belum tahu?
Dek kerana hepatitis kanak-kanak belum diketahui atau tidak diketahui puncanya, WHO menamakannya sebagai hepatitis akut kanak-kanak yang tidak diketahui penyebabnya.
Komplikasi
Hepatitis adalah penyakit berat dan berbahaya. Beberapa kematian telah dilaporkan di AS dan Indonesia.
Selain itu 11 kanak-kanak telah menjalani transplan hati agar organ yang vital ini dapat terus berfungsi.
Virus novel dan imuniti
Pengalaman dilalui mendapati bila virus novel seperti SARS-CoV-2 menyerang, imuniti manusia tidak cukup bersedia untuk menangkis serangan tersebut.
Jangan bimbang dan panik?
Bila Pandemik COVID-19 melanda Wuhan, dunia diingatkan agar tidak bimbang dan tidak perlu panik.
Dua tahun berlalu, lebih 500 juta manusia dijangkiti oleh SARS-CoV-2 dengan lebih 6 juta kematian. Malah SARS-CoV-2 masih lagi menular, memudaratkan dan terus meragut nyawa.
Bila hepatitis yang dihipotesiskan ada kaitan dengan adenovirus novel dikesan berada di merata penjuru dunia, ingatan yang sama juga dikeluarkan oleh WHO: "jangan bimbang dan panik".
Semoga peringatan WHO pada kali ini adalah benar dan tepat hendaknya
Rujukan:
1. Increase in hepatitis (liver inflammation) cases in children under investigation
2. Multi-Country – Acute, severe hepatitis of unknown origin in children
3. Kamus Dewan Atas Talian
Home
Last-Modified: Wed, 11 May 2022 17:09:56 GMT
Ulasan