Virus Korona Novel 2019 Kini Lebih Licik Dan Letal Dari SARS ?
Oleh Infomedikini
Gempar Dan Gempak
Ada banyak peristiwa-peristiwa berimpak besar yang boleh menjadi gempar dan menggempakkan. Salah satu daripada peristiwa tersebut adalah wabak. Wabak adalah satu perkataan yang boleh menimbulkan kejutan dan juga kebimbangan lebih-lebih lagi kalau ianya adalah wabak penyakit berjangkit yang boleh merebak secara pantas dan meluas. Makanya bila wabak melanda ia pantas disambar oleh kegemparan, memantulkan kegempakan dan menarik tumpuan ramai.
Peritiwa terbaru yang telah menimbulkan suasana gempar, gempak dan menggamit perhatian serta tumpuan dunia adalah wabak yang disebabkan oleh jangkitan virus korona yang melanda wilayah Wuhan di China. Al-kisahnya, ketika dunia sedang bersiap sedia untuk menyambut kedatangan tahun baru 2020, tiba-tiba muncul virus korona yang boleh menjangkiti manusia.
Virus korona tersebut telah menjadikan Wuhan sebagai tapak sifar sebelum ianya menular ke pelbagai arah: utara, selatan, timur dan barat. Ia menjadi gempar kerana ejen penyebabnya adalah sejenis virus novel yang boleh menular dari manusia kepada manusia yang lain sedangkan identitinya belum dikenali pada waktu itu. Ia menjadi gempak bila jumlah kematian meningkat dari sehari ke sehari selaras dengan peningkatan berterusan bilangan kes.
Virus korona Wuhan: 2019-nCov. Struktur merah adalah pancang-pancang protin yang berperanan dalam penularan.
Nama glamor bagi virus Wuhan adalah virus korona novel 2019 atau singkatannya adalah 2019-nCoV atau COVID-19. Ada beberapa lagi virus korona yang aktif menjangkiti manusia iaitu virus selesma kelawar (bat-SL-CoVZC45 and bat-SL-CoVZXC21), SARS (SARS-CoV) dan virus selesema unta (MERS-CoV).
Bukan mudah untuk menyelidiki virus-virus baru. Kini ianya jadi lebih mudah dengan adanya kerjasama antarabangsa, keterbukaan dalam laporan dan simpanan data saintifik berpusat yang boleh diakses semua pihak. Dan wabak Wuhan ini mencatatkan buat pertama kalinya maklumat-maklumat terperinci mengenai sesuatu virus novel diperoleh lebih pantas daripada kadar ianya diviralkan.
Terdapat persamaan tapak reseptor 2019-nCov dan SARS-Cov. Ini bermakna kevirulenan iaitu 'keganasan' 2019-nCov boleh menyamai tahap kevirulenan SARS iaitu virus yang pernah menjadi pandemik satu masa dulu dan mengorbankan banyak nyawa.
Kajian juga mendapati 2019-nCov mampu mengubah penampilan dengan melaksanakan mutasi iaitu menukar kandungan genom dalam waktu yang singkat. Ini bermakna 2019-nCoV adalah licik dan mampu menukar identiti diri, mengelak efek vaksin dan memudahkanya merintangi penawar antivirus.
Statistik menunjukkan angka kematian angkara 2019-nCoV (900 kematian) telah melepasi angka kematian yang disebabkan oleh SARS-CoV (774 kematian).
Dengan dapatan kajian seperti itu maka tidak hairanlah sekiranya wabak yang pada awalnya hanyalah beberapa buah gugusan-gugusan kecil kes-kes terjangkit namun dari sehari ke sehari terus merebak dan bertambah ganas.
Wuhan terletak di tengah-tengah tanah besar China. Tanah besar China pula adalah teramat luas hinggakan jajaran tembok besar tidak cukup panjang untuk melingkari sepenuhnya negara berkenaan. Meskipun berkeluasan saujana mata memandang namun virus korona novel Wuhan berjaya juga menelusuri hampir ke segenap penjuru tanah besar China dalam waktu yang pendek saja.
Negara China adalah amat dikenali seantero dunia menerusi catatan-catatan sejarah lampau yang dramatik dan peninggalan-peninggalan purba yang terus utuh meskipun ditelan zaman. Selain Timur Tengah, tidak banyak negara lain yang memiliki khazanah sejarah dan peninggalan purba sebagaimana yang terdapat di tanah besar.
Sejarah China kaya dengan cerita-cerita tentang dinasti. Tidak ketinggalan adalah catatan tentang wabak-wabak penyakit berjangkit yang telah menggeluti negara berkenaan sejak zaman berzaman lagi. Wabak terawal yang direkodkan adalah sekitar 256 tahun sebelum Masehi. Dalam abad ke 20 dan 21, mereka terus bergelut dengan berbagai kemelut seperti flu burung, H5N1, H1N1, flu kelawar, SARS dan beberapa lagi.
Pasar haiwan pelbagai spesis adalah tapak sifar wabak virus korona Wuhan.
Penularan
Salah satu ciri wabak adalah tular yakni mampu merebak. Virus tidak menular dengan sendiri sebaliknya yang menularkan virus adalah mobiliti pihak yang di jangkiti. Anjakan dalam mobiliti sosial dan pemodenan dalam aspek pengangkutan telah membolehkan lebih banyak pergerakan menuju destinasi jadi lebih pantas dan dengan itu memungkinkan apa jua wabak diangkut dan dipindahkan secara ekspres ke mana-mana alamat atas muka bumi secara percuma.
Terdapat perbezaan dari segi kadar penularan virus yang ujud dahulu kala dan virus yang mengganas dalam abad ini. Penularan boleh berlaku ikut 3 laluan iaitu laluan darat, laut dan udara.
Tanpa adanya mobiliti manusia di udara pada era pra pengangkutan udara, penularan virus pada waktu itu dijayakan menerusi laluan darat dan laut. Penularan virus menerusi darat dan laut adalah relatifnya lembab dan tidak meluas iaitu bersesuaian dengan kemunduran pengangkutan pada waktu itu.
Virus alaf baru menular ikut laluan udara, darat dan air. Dengan adanya keretapi laju, kapal pesiaran mewah dan Airbus maka lebih banyak virus-virus boleh dipindahkan ke destinasi yang jauh dalam sekelip mata saja. Liciknya virus moden ialah meskipun di depannya ada tembok super Tebing Barat, tembok Berlin, dinding pemisah Trump, pagar elektrik dan kawat berduri, semua itu tidak merencatkan penularan.
Dalam konteks penularan virus Wuhan, penularan adalah mengikut laluan darat, laut dan udara. Wabak yang pada awalnya hanya berskala kluster yang kecil telah bertukar menjadi epidemik yang sederhana dan akhirnya menjadi pandemik yang berskala besar dalam tempoh kurang dari 8 minggu.
Bendung
Pandemik boleh dibendung cumanya kaedah dan pelaksanaannya tidaklah semudah yang disangka. Usaha ke arah kawalan penuh adalah ibarat berat mata memandang berat lagi bahu yang memikulnya. Apa yang pasti adalah penularan berlaku menerusi kes-kes yang dijangkiti. Jika jangkitan dapat dihalang bukan saja virus akan mati kutu malah peluang untuk penularan akan tertutup kedap.
1. Paling masuk akal adalah menghentikan sepenuhnya mobiliti di darat, laut dan udara tetapi itu langsung tidak praktikal dan tidak mungkin akan berlaku.
Landasan terbang sesak teruk bila mobiliti udara terkandas
2. Pengasingan kes-kes bagi menghalang kontak antara penghidap dan pembawa dengan pihak publik adalah praktikal bagi ratusan kes tetapi satu beban yang berat bila bilangan kes cecah ratusan ribu dalam satu-satu masa.
Apa saja premis berbumbung yang luas boleh dijadikan tempat pengasingan
3. Penyaringan kes di pintu-pintu masuk dan di kawasan tumpuan ramai mampu mengesan kes-kes yang ada tanda-tanda. Ketirisan boleh berlaku bagi kes yang tiada tanda-tanda.
Pengukuran suhu badan adalah satu kaedah saringan kes
4. Kaedah pelindung diri paling berkesan adalah seperti yang dipakai oleh para petugas di barisan hadapan iaitu kedap virus sepenuhnya. Kurang daripada itu maka kuranglah kekedapan dan keberkesananya.
Pelindung kedap virus
5. Virus tidak boleh terapung-apung jauh dan lama di udara. Transmisi boleh dielakkan dengan menjauhkan diri daripada udara yang terapung-apung di dalamnya partikel-partikel virus atau memakai alat yang dapat menapis virus atau setidak-tidaknya sungkup muka dalam kategori 'tiada rotan akar berguna'.
6. Tangan adalah anggota badan yang paling kerap dicemari oleh kuman. Cuci tangan mengikut saranan yang betul sebelum membasuh muka atau makan boleh menanggalkan virus dan dengan itu dapat mengelak daripada mendapat jangkitan.
7. Haiwan ada habitatnya sendiri. Sangkar bukanlah habitat semula jadi haiwan. Ia akan mendekatkan virus haiwan kepada pemiliknya. Larangan ke atas pemeliharaan haiwan liar pembawa virus berbahaya boleh ditingkatkan penguatkuasaannya.
Burung yang disangkarkan juga berisiko mendapat penyakit seperti burung liar menurut CDC.
8. Vaksin dan penawar hampir pasti dapat mengawal wabak. Harap-harap ianya akan memasuki pasaran sebelum wabak menutup tirai.
Penawar
Setiap penyakit ada penawarnya. Jangkitan virus novel juga ada penawarnya. Sungguhpun begitu pipih tidak datang melayang-layang atau bulat tidak datang bergolek-golek. Lagipun adalah sukar untuk menjumpai penawar semasa wabak sedang memuncak meskipun diusahakan pada kadar 24/7.
Sebab ketiadaan penawar buat masa ini adalah setiap penawar bagi virus novel perlu terlebih dahulu menjalani ujian klinikal bagi menentukan keberkesanan dan keselamatan ke atas penghidap sukarela yang terpilih sebelum ianya boleh digunakan kepada ribuan penghidap yang lain.
Masalahnya ialah proses mencari dan membuat penawar bagi jangkitan virus novel adalah memakan masa berbulan-bulan lamanya. Bila penawar sudah dijumpai ada kemungkinan wabak sudah hampir di penghujung.
Bila wabak melabuhkan tirai, penghidap tentunya mahu pulang ke rumah. Kalau ada saki-baki jangkitan kemungkinannya adalah tikus makmal saja. Walhal penawar yang diuji dan didapati berkesan dan selamat terhadap tikus makmal adalah bukan satu ujian klinikal.
Tenangkan diri
Kalau saya hendak mengendurkan kerisauan yang terbit daripada wabak Wuhan ini, saya akan meletakkan diri saya dalam analogi keselamatan jalan raya. Katakanlah saya sedang dalam perjalanan menaiki bas ekspres dari hujung selatan ke hujung utara.
Sememangnya perjalanan yang sejauh itu akan terdedah kepada risiko kemalangan jalan raya. Statistik juga menunjukkan kadar mortaliti di atas jalan raya adalah tinggi hingga boleh menerbitkan fobia kalau tidak dihadam dengan baik.
Namun statistik dan gambaran bahaya tersebut tidak akan menyebabkan saya membatalkan perjalanan. Ini kerana saya masih percayakan peranan badan yang pemantau keselamatan jalan raya. Lagipun ruang untuk mengurangkan potensi bahaya selalu terbuka.
Tindakan proaktif yang boleh saya lakukan untuk mengurangkan kerisauan dan potensi bahaya adalah dengan berdoa dan berserah diri kepada Allah agar perjalanan saya menjadi lancar dan dilindungi.
Dengan sedikit pengetahuan yang ada, saya akan meletakkan diri pada kedudukan yang saya anggap paling selamat dan menjauhkan diri daripada kedudukan yang berisiko mendapat kecederaan teruk jika berlaku kemalangan.
Postur dapat menyerap momentum kemalangan dan dengan duduk di kerusi dalam postur paling selamat maka sekiranya berlaku kemalangan dapatlah risiko kecederaan dikurangkan. Saya tentunya akan menggunakan tali pinggang keselamatan sekiranya disediakan.
Kalau ada kanak-kanak yang berlari-lari, penulis akan menasihati mereka tentang risiko terpelanting sekiranya bas di brek secara mengejut.
Tumpuan penting buat pemandu. Sekiranya ada penumpang yang hilang waras, saya berharap dia dapat diisolasikan jauh daripada pemandu.
Keselamatan banyak ditentukan oleh faktor pemanduan. Sekiranya pemandu tidak berfungsi secukupnya bagi menjaga keselamatan pemanduan, penulis harus berani melontarkan teguran.
Meskipun telah mengambil semua langkah di atas agar tidak berlaku musibah, penulis juga faham bahawa kemalangan boleh berlaku disebabkan oleh perkara-perkara yang di luar kawalan.
Kemalangan boleh berlaku bukan disebabkan bas yang dinaiki hilang kawalan dan terbabas tetapi boleh disebabkan oleh faktor yang saya tak mampu mengawalnya seperti kenderaan lain terbabas memasuki lorong bertentangan.
Kalau kebetulan penulis ternampak satu kemalangan maut, penulis mungkin akan mengambil gambar atau merakamkan kejadian tersebut lalu dikongsikan dalam media sosial. Kapsyen yang sesuai adalah "Kemalangan maut: berhati-hati di jalan raya."
Apa yang penulis tidak perlu tulis adalah kenapa kemalangan berlaku, pihak mana yang bersalah, siapa yang membawa malang dan seterusnya melalut-lalut sampai ke laut.
“Alarmingly, our data predict that a single mutation [at a specific spot in the genome] could significantly enhance [the Wuhan coronavirus’s] ability to bind with human ACE2,” the investigators write. For this reason, Wuhan coronavirus evolution in patients should be closely monitored for the emergence of novel mutations at the 501 position in its genome, and to a lesser extent, the 494 position, in order to predict the possibility of a more serious outbreak than has been seen so far."
Kesudahan wabak
Setiap yang bermula akan berakhir. Wabak ini tidak akan berpanjangan lebih daripada tempoh hayatnya. Kesedaran ramai warga dunia tentang cara-cara yang betul untuk mengelakkan jangkitan akan banyak membantu dalam mengekang penularan dan memendekkan hayat wabak berkenaan.
Wabak adalah ujian dan setiap ujian ada dua keputusan. Lulus atau gagal itu penting. Lebih penting adalah berapa banyak daripada pengajaran, pengalaman dan kemahiran yang boleh di timba daripada wabak tersebut yang boleh digunakan bila ujian serupa berulang atau ujian baru didatangkan.
**Statistik WHO 11/2/2020:
1. Kes disahkan: 42,00
2. Jumlah kematian: 1300
Last-Modified: Friday, 17 December 2021
Ulasan