Hanya Ada Satu Jalan Yang Panjang Menuju Pemulihan Norma-Norma Asal

Oleh: Infomedikini


J
angkitan viruskorona jenis novel telah dikesan melanda Wilayah Wuhan di China pada penghujung bulan Disember 2019. Pengesanan virus tersebut telah dibuat dengan kaedah makmal dan bukan dengan lain-lain kaedah.

Makna Tersirat


Nama yang diberikan kepada virus ini adalah Covid-19. Nama itu ada makna di belakangnya iaitu sama seperti Rempuhan 911 yang ada makna di belakangnya. Covid-19 adalah merujuk kepada serangan coronavirus yang bermula pada 2019 sementara WTC-911 adalah merujuk kepada serangan ke atas WTC pada 11 September, 2001.


Kemungkinan bumi diserang wabak susulan dari kemunculan virus novel terutama virus pelompat spesis telah lama diketahui. Bumi yang berevolusi ikut pengalaman sentiasa bersedia dengan sebarang kemungkinan iaitu sebagaimana bersedianya Kota Metropolitan Ground Zero dengan sebarang kemungkinan selepas insiden 911.


Reaksi kesihatan awam global terhadap ketibaan virus-virus baru adalah dipandu oleh satu tatacara operasi standard iaitu Pandemic Preparedness Plan. Panduan tersebut berubah-ubah dari semasa ke semasa agar bersesuaian dengan pandemik yang melanda.


Virus pandemik adalah licik memperdayakan sasarannya hinggakan negara maju boleh termakan tanggapan terpesong yang memperkecil-kecilkan kemampuan sebenar virus tersebut. Justeru tidak hairan kalau negara-negara maju terpinga-pinga dan terkial-terkial bila diasak oleh pandemik global.


rempuhan world trade center

Rempuhan 911 punca Kota Metropolitan NY rentan terhadap Covid-19?


Pandemik asalnya bermula di epicenter. Dari situ seperti api membakar sekam ia menjalar keluar ke pelbagai arah dan dalam diam-diam ia sudah berada hampir di mana-mana.


Bila wabak menjalar merentasi sempadan ia berubah daripada isu dalam sempadan menjadi isu rentas sempadan. Pendekatan setempat tidak cocok buat isu rentas sempadan sebaliknya pendekatan rentas sempadan lebih cocok buat isu rentas sempadan.


Baru Belum Banyak Yang Tahu


Virus pandemik bukanlah calang-calang mikrob. Ciri-ciri yang belum diketahui masih jauh mengatasi ciri-ciri yang telah diketahui. Berikut adalah ciri-ciri yang telah diketahui:


1. Jangkitan virus ini boleh menimbulkan komplikasi yang membawa maut.

2. Manusia tidak mempunyai imuniti terhadap virus baru justeru itu sesiapa jua adalah rentan yakni mudah dijangkiti.

3. Virus boleh menular terus dari satu individu kepada individu yang lain hingga ke tahap pandemik.


Acaman wabak seumpama Pandemik Flu 1918 bukanlah olok-olok. Harga yang perlu dibayar bagi pandemik yang dipandang dengan sebelah mata yang terbuka adalah tidak terkira mahalnya.


Masa Itu Emas


Impak negatif menyeluruh dan beban berat yang perlu ditanggung oleh sistem kesihatan menuntut kesegeraan dalam menangani sebuah pandemik. Ini bermakna faktor masa dalam situasi pandemik adalah seumpama emas. Namun bila Covid-19 mengambil masa 3 bulan untuk ditingkatkan menjadi pandemik bayangkan berapa banyak peluang keemasan yang terbuang begitu saja.


Sememangnya kebelakangan ini dunia tidak menang tangan dengan pelbagai ancaman penyakit yang sama ada telah kambuh semula atau yang baru muncul. Keadaan tidak menang tangan itu memberi ruang kepada virus novel pintar lagi licik untuk terlepas dari pengesanan. Justeru timbul pertanyaan ini: "Apa yang dunia perlu ada bagi mengelak pandemik terlepas dari pengesanan?"


Sesungguhnya dunia sudahpun memiliki semua jenis alat pengesanan dan pertahanan seperti jet pejuang Raptor, kapal selam/perang berkuasa nuklear, teleskop Hubble, CCTV berteknologi AI, radar tercanggih dan satelit pengintip namun sayang seribu kali sayang semua itu adalah jawapan yang tersasar.


Pandemik bukan saja melibatkan isu rentas sempadan malah ia jauh lebih rumit dari itu. Pandemik adalah isu sejagat. Langkah pertama menuju pembendungan virus adalah bermula di epicenter. Langkah tersebut perlulah berpandukan petua orang dulu-dulu iaitu "Alang-alang menyeluk pekasam usah hanya separuh lengan".


Hubei adalah epicenter bagi Covid-19. Justeru ia paling awal disandarkan harapan dan dibebankan dengan kepayahan menangani serangan viruskorona agar tidak menular keluar dari pusat wabak.


Realiti pembendungan pandemik adalah berat pada mata yang memandang dan lebih berat lagi bahu yang memikul. Kecaman dan kritikan adalah beban tambahan yang perlu dipikul oleh bahu yang gagal merealisasikan dunia yang bebas daripada pandemik global.


Setakat tarikh artikel ini ditulis pandemik ini telah memasuki usia 7 minggu. Sesungguhnya banyak yang telah dilalui dan disaksikan dalam tempoh yang singkat ini. Semua itu boleh disimpulkan seperti berikut:


1. Putaran bumi terasa lebih perlahan daripada biasa. 7 minggu adalah seumpama 7 bulan.

2. Mencegah penyakit kronik bukan berjangkit sebelum datangnya pandemik adalah seumpama persediaan payung sebelum hujan.

3. Efek yang ditinggalkan oleh habuk dan debu runtuhan 911 adalah 18 ribu permasalahan paru-paru. Sumbangannya kepada kadar kematian Covid-19 tertinggi di dunia akan terus diperdebatkan.

4. Tak perlu menunggu satu sidang kemuncak bergerak ke satu sidang kemuncak yang berikutnya untuk proses nyahcemar atmosfera berlaku. Hanya dengan satu sekatan iaitu Sekatan Perjalanan Sedunia membolehkan bumi mendapat kembali udara yang segar.

5. Ketika kesihatan dan keselamatan dunia berada dalam sebiji telur di hujung tanduk, menjadi enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing adalah reaksi pentingkan diri sendiri yang lahir dari pemikiran yang sempit dan akan menyempitkan usaha penanganan pandemik di peringkat sedunia.

6. Betapa kemajuan dan kemodenan yang tidak seimbang hanya mampu menjadi kalut dan rata-ratanya berpaut pada beberapa bidan terjun.

7. Meskipun kes positif Covid-19 sudah mencapai angka 3 juta namun didepan angka itu hanya ada tanda koma (,). Angka tersebut akan terus membesar tanpa ada titik noktah didepannya.

8. Cabaran besar bagi Main Street adalah angka kais pagi makan pagi kais petang makan petang yang meningkat selari dengan angka jangkitan Covid-19. Sementara cabaran besar buat Wall Steet adalah mimpi The Great Depression yang semakin menjadi kenyataan.

9. Putaran ganas pandemik adalah penghalang bagi kes jangkitan yang tinggi menurun ke angka satu digit.


Carta alir pandemik

Putaran ganas Covid-19


Alah Bisa Tegal Biasa


Sama ada bersetuju atau tidak, dunia belum bersedia untuk meninggalkan perapatan sosial dan beberapa rutin yang dolu-dolu. Kalau itulah halnya, bolehkah sebahagian besar daripada kebiasaan-kebiasaan yang lama itu pulih kembali? Kalau boleh bagaimana?


Jawapan bagi persoalan di atas adalah terletak dalam cengkaman pandemik itu sendiri. Ia akan diketahui sejurus selepas pandemik tidak lagi mencengkam.


Satu yang jelas adalah apa jua ketumbukan fizikal tidak mampu membebaskan cengkaman tersebut. Mungkin Lockdown berterusan mampu melakukannya tetapi pendekatan sebegini tak mampu bertahan lama.


Justeru harapan yang belum pudar dan boleh menjadi sandaran adalah IMUNITI. Imuniti berkelompok sebesar 30-70% adalah peratusan dalam kelompok yang menghasilkan antibodi (yang berkesan lagi cukup) bagi menangkis dan seterusnya melepaskan cengkaman Covid-19.


Cumanya paras imuniti berkelompok yang diperlukan adalah masih jauh panggang dari api. Contohnya, meskipun paling kuat dihujani oleh Covid-19, jumlah saringan positif antibodi di New York hanyalah sekitar 14% saja.


Kini tinggal satu saja jalan menuju imunitu kelompok 30-70% iaitu kerjasama global di puncak skala epik penghasilan vaksin yang berkesan lagi selamat secara massa. Masa itu emas. Kesegeraan adalah kritikal sebelum gelombang berikut membadai.


Last-Modified: Monday, 27 December 2021 15:56:34 GMT

Ulasan

Terbaru

⬅Tatal ke kiri

AKAN DATANG

Animasi elektromagnetik dan fotoelektrik: artikel mengenai foton dan perubatan akan muncul tak lama lagi.

Efek Fotoelektrik

Oleh Infomedikini

Anod Katod - + Wayar Bateri Meter Amp Ulang

Animasi fotoelektrik

Animasi penjanaan X-ray

Oleh Infomedikini

Pecutan elektron Elektron Nukleus X-ray Ulang Maaf, browser anda tidak menyokong SVG
Covid-19
Pandemik

⬅Tatal ke kiri