AS Keluar Dari WHO Meskipun Pandemik Belum Jumpa Titik Noktah

Oleh Infomedikini


AS dan WHO


Keakraban hubungan AS dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) adalah ibarat hubungan isi dan kuku. Hubungan erat yang terjalin di antara mereka telah banyak menghasilkan kemajuan dalam bidang kesihatan dan perubatan. Namun, pandemik COVID-19 telah mengubah hubungan dan kerjasama yang terjalin ke arah yang negatif.


Hubungan baik Trump dan WHO mula retak bila penularan Covid-19 di AS tersasar daripada tilikan yang dibuat pada awalnya. Ia seterusnya berubah kepada 'retak menanti belah' apabila negeri yang beliau pimpin berada di kedudukan paling atas dalam carta pandemik dunia.


USA President

Imej 1: Presiden AS.


Dalam masa yang sama wujud pula satu suasana negatif baru di AS. Suasana yang dimaksudkan adalah protes besar-besaran susulan daripada insiden yang menimpa George Floyd iaitu seorang warga AS berketurunan Afrika-Amerika.


Protes tersebut bukan sahaja menyukarkan lagi usaha untuk melandaikan lengkung pandemik di AS bahkan ia adalah stimulus tambahan yang mempengaruhi keputusan akhir bersabit hubungan Trump-WHO.


Kini hubungan Trump-WHO telah sampai pada tahap berkerat rotan dan berpatah arang. Dek kerana terjadinya yang demikian itu pada masa rawatan dan vaksin pandemik COVID-19 masih berkedudukan jauh panggang dari api makanya banyaklah persoalan yang akan ditimbulkan.


Persoalan yang paling dicari-cari jawapannya adalah tentang justifikasi yang memacu hubungan kedua-duanya yang sepatutnya lebih positif dalam situasi pandemik boleh berkalih sebanyak 1800 hingga menjadi tersangat negatif.


Sememangnya sukar untuk membayangkan justifikasi tersebut. Namun sekiranya isu yang melibatkan Trump, WHO dan pandemik diikuti naratifnya secara dekat, justifikasi yang dimaksudkan sebenarnya adalah jelas tanpa perlu disuluh.


Selain pandemik dua lagi peristiwa iaitu protes besar-besaran di AS dan ucapan pembukaan WHA73 pada 18 Mei 2020 adalah jerami-jerami kering yang meskipun ringan timbangannya tetapi adalah cukup berat impaknya ke atas benang-benang kerjasama AS-WHO.


Street demonstration USA

Imej 2: Protes jalanan di AS


Ucapan Dr Tedros


Sesungguhnya pandemik ini adalah satu krisis kesihatan yang sangat mencabar.


Kita bersedih untuk mereka yang telah meninggalkan kita. Kita masih khuatir akan mereka yang masih bertarung nyawa.


Kita perlu memasang iltizam untuk mengatasi ancaman bersama dan kita perlu memasang kemahuan untuk melihat masa hadapan yang lebih baik.


Sebelum ini pun dunia pernah berdepan dengan beberapa kejadian pandemik. Cumanya pandemik ini adalah pertama kali di tularkan oleh koronavirus.


Virus ini adalah agen jangkitan yang licik dengan kombinasi berbagai ciri yang berbahaya: sesungguhnya ia amat cekap, pantas dan fatal.


Adapun virus ini boleh beroperasi dalam gelap, menular secara senyap sekiranya tidak diberikan perhatian dan ia juga menular seumpama kebakaran hutan dan boleh meledak bila dunia tidak bersedia.


Kita telah melihat corak kemudaratan yang sama berulang-ulang di bandar-bandar besar dan di merata-rata negara seantero dunia.


Makanya virus ini selayaknya mendapat perhatian dan dipandang dengan penuh respek.


Sehingga kini, lebih 4.5 juta kes Covid-19 telah dilaporkan kepada WHO dan lebih 300,000 orang telah kehilangan nyawa.


Tetapi angka di atas bukanlah gambaran menyeluruh tentang pandemik ini.


Semestinya setiap nyawa yang hilang bakal meninggalkan parut buat keluarga, komuniti dan negara.


Impak tidak langsung


Impak pandemik ini menjangkau lebih jauh daripada sekadar penyakit dan kematian. Impak lebih besar adalah gangguan terhadap sistem kesihatan yang mengancaman progres-progres berikut: mortaliti ibu dan anak, HIV, malaria, tuberkulosis, penyakit tidak berjangkit, kesihatan mental, polio dan banyak lagi ancaman-ancaman kesihatan.


Sesungguhnya, pandemik ini adalah lebih daripada sekadar krisis kesihatan:


1.Banyak nyawa melayang dan banyak kehidupan yang tunggang-terbalik dibuatnya.

2.Beratus juta warga dunia hilang sumber pendapatan.

3.Kerisauan dan ketidak pastian membuak-buak.

4.Ekonomi dunia menuju penguncupan yang amat tajam selepas Great Depression.


Adapun pandemik ini bukan saja menonjol nilai-nilai kemanusian terbaik bahkan nilai-nilai yang terburuk tertonjol bersama:


1. Ada yang cekal dan ada yang mengalah; Ada yang saling percaya dan tidak kurang pula diselubungi perasaan syak wasangka. Kalau dulu akrab, la ni mereka saling tuding-menuding.

2. Wabak ini mendedahkan perselisihan, ketidak samaan, ketidak adilan dan nilai moden yang menampakkan beberapa kontradiksi.

3. Wabak ini mendedahkan kekuatan yang dimiliki dan dalam masa sama ia juga menampakkan kelemahan yang tersimpan.

4. Sains dijulang dan dalam masa sama ada yang meminggirkanya.


Di sebalik yang negatif masih ada yang positif iaitu lebih banyak negara mula berganding tangan dan apa jua perbezaan geopolitik kini diminimumkan.


Tiada istilah mustahil dengan bersatu dan risiko yang bakal dihadapi tanpa bersatu amatlah jelas.


Riak tidak ke mana


Bahawa riak besar yang timbul bersama kekuatan ekonomi, militari dan teknologi boleh dalam sekelip mata ditundukkan oleh mikrob yang halus, haruslah menginsafkan.


Kalaupun virus ini ada mengajar sesuatu, ia adalah tentang perasaan rendah hati. Gunakan pengajaran ini untuk menjauhkan perasaan meninggi diri.


Enam bulan dulu tiada siapa yang menyangka situasi-situasi ini akan berlaku:


1. Bahawa bandar-bandar utama dunia akan tenggelam dalam kesunyian.

2. Bahawa kedai-kedai, restoran-restoran, sekolah-sekolah dan tempat-tempat kerja akan tutup pintu untuk satu tempoh yang panjang.

3. Bahawa perjalanan antarabangsa akan terhenti.

4. Bahawa sekadar berjabat tangan akan membahayakan nyawa.

5. Bahawa istilah-istilah seperti penjarakan sosial dan pengesanan kontak yang biasa digunakan oleh epidemiologis akan jadi ungkapan biasa-biasa dan umum.


Pandemik ini telah berjaya mengeliling dunia dalam tempoh kurang dari 5 bulan.


Cengkaman virus ini adalah cabaran besar yang perlu ditempuh oleh semua negara sama ada kaya atau miskin; besar atau kecil.


Adapun negara pendapatan rendah, pulau kecil yang sedang membangun dan mereka yang menderita dek keganasan dan konflik yang dalam dan dalam masa sama kena pula berdepan ancaman pandemik, merekalah yang berada dalam situasi paling mencabar.


Bayangkan bagaimana mereka hendak mengamalkan penjarakan fizikal sedangkan mereka tinggal dalam kawasan yang padat dan sesak?


Bagaimana mereka hendak duduk rumah sedangkan mereka perlu bekerja di luar rumah untuk menyara keluarga?


Bagaimana mereka nak mempraktikkan kebersihan tangan sedangkan bekalan air bersih amat berkurangan?


Makanya ada negara yang berjaya mengekang transmisi dalam komuniti daripada menular. Ada juga negara yang perlu mengarahkan pelaksanaan perintah duduk-di-rumah dan mengenakan larangan sosial bagi mengekang transmisi dalam komuniti.


Dan tidak kurang adanya negara-negara yang masih bergelut teruk dengan COVID-19.


Pemulihan


Namun ada pihak yang sedang mencongak-congak tentang pengenduran ke atas kawalan-kawalan yang menghasilkan beban sosial dan ekonomi yang tidak diingini.


Sesungguhnya WHO benar-benar faham dan tidak keberatan untuk menyokong kemahuan negara berkenaan untuk kembali berdiri dan kembali bekerja.


Tetapi dek kerana kami mahukan pemulihan global berlaku dengan segera makanya kami menggesa mereka meneruskannya secara berhati-hati agar tiada masalah lain yang timbul.


Sesungguhnya kami tidak mahu melihat negara-negara yang bergerak terlalu pantas mengejar pemulihan akhirnya dihandikapkan oleh ketiadaan plan kesihatan awam bagi mengesan dan mengekang penularan.


Gambaran yang menyuramkan lagi harapan adalah tetang kajian serologi awal iaitu waima bagi kawasan yang terkesan teruk, peratusan populasi yang mendapat antibodi terhadap Covid-19 adalah tidak lebih daripada 20 peratus dan di kebanyakan tempat ianya adalah kurang daripada 10 peratus.


Dalam lain perkataan majoriti daripada populasi dunia masih lagi mudah dijangkiti.


Ini bermakna risiko jangkitan masih lagi tinggi dan kita masih perlu melalui satu jalan yang panjang.


Dalam beberapa bulan yang lepas kita telah banyak belajar tentang bagaimana menghalang jangkitan dan selamatkan nyawa tetapi tidak ada satu tindakan yang mampu menghasilkan kejayaan yang menyeluruh: tidak ujian semata-semata, tidak pengesanan kontak semata-mata, tidak isolasi, kuarantin, kebersihan tangan atau penjarakan fizikal semata-mata.


Kesemua itu adalah pendekatan komprensif yang WHO saran secara konsisten.


Sesungguhnya tiada satu peluru yang dapat mengena semua sasaran. Begitu juga tiada solusi yang mudah, tiada formula yang mujarab dan tiada satu saiz yang muat bagi semua pendekatan.


Adapun mereka yang melaksanakan kesemua (elok diulangi iaitu kesemua) perkara-perkara berikut: ujian Covid-19, mengesan kontak, mewajibkan kuarantin, bertindak mengasingkan kes-kes positif, menjaga kebersihan tangan dan patuh kepada penjarakan fizikal, adalah mereka yang berjaya.


Selain itu, pandemik ini menuntut adanya kerja keras, kesetian kepada sains, pembelajaran dan adaptasi berterusan dan tentunya keputusan yang sukar.


Tetapi beberapa komponen asas perlu menjadi sebahagian daripada strategi kebangsaan. Mereka adalah:


Respons seluruh kerajaan dan seluruh masyarakat antarabangsa yang mendekati dan menyantuni rakyat dan komuniti-komuniti adalah untuk memastikan bukan sahaja mereka sendiri malah orang lain adalah juga selamat.


Untuk itu perlu ada komitmen dan kapasiti-kapasiti berikut: cari, asing, uji, merawat setiap kes, kesan dan kuarantin semua kontak.


Dan tidak terkecuali adalah perhatian khas terhadap kumpulan yang berisiko dan rentan seperti mereka yang tinggal di rumah penjagaan warga emas, kem-kem pelarian, penjara, dan pusat-pusat tahanan.


Dalam waktu yang meruncing, WHO telah berganding bahu dengan banyak negara-semenjak hari pertama lagi.


Kami telah membunyikan loceng amaran dan ianya dibuat dengan kerap.


Kami memberitahu negara-negara supaya mengeluarkan panduan kepada pekerja kesihatan dalam tempoh 10 hari dan mengisytiharkan kecemasan kesihatan global - iaitu pemberitahuan persediaan peringkat tertinggi daripada WHO - pada 30 Januari. Pada waktu itu terdapat kurang daripada 100 kes dan tiada kematian di luar China.


Kami telah menyediakan panduan-panduan teknikal dan nasihat-nasihat strategik berlandaskan sains dan pengalaman-pengalan terbaru.


Kami membantu negara-negara untuk menyesuaikan diri dan melaksanakan panduan-panduan.


Kami telah menghantar peralatan-peralatan diagnostik, PPE, oksigen dan lain-lain bekalan perubatan kepada lebih 120 buah negara.


Kami telah melatih lebih daripada 2.6 juta pekerja kesihatan dalam 23 bahasa.


Kami telah memandu pembangunan dan penyelidikan menerusi Solidarity Trial.


Akses sama rata


Kami telah menyeru agar vaksin, peralatan-peralatan diagnostik dan bahan-bahan terapeutik diberikan akses yang sama rata.


Dan kami telah secara konsisten berpegang kepada pendirian bahawa 2 ramuan yang esensial bagi mengatasi wabak ini adalah dengan bersatu di peringkat nasional dan mengeratkan perpaduan di peringkat global.


WHO adalah komited kepada aspek ketelusan dan penambah baikan yang berterusan. Bagi kami perubahan adalah konstan.


Malah akauntabili bebas yang sedia ada telahpun beroperasi semenjak pandemik ini bermula.


Jadinya, penilaian bebas akan dimulakan bagi menilai semula pengalaman yang dilalui dan iktibar yang diperoleh dan dari situ cadangan penambah baikan terhadap aspek persedian dan respons terhadap pandemik sama ada di peringkat nasional atau global akan dilakukan.


Namun satu perkara yang amat jelas adalah dunia tidak akan sama seperti sebelum ini.


Kita tidak perlukan satu semakan untuk memberitahu bahawa kita mesti melakukan apa saja dengan kuasa yang ada bagi memastikan pandemik ini tidak berlaku semula.


Apa saja pengajaran yang dipelajari daripada pandemik ini, kegagalan terbesar adalah tidak belajar sesuatu daripadanya dan membiarkan dunia berada dalam keadaan selemah dan serentan dahulu.


Kepedulian


Ini bukanlan pesanan baru.


Adapun semakan selepas wabak SARS, wabak H1N1 dan wabak Ebola menyerlahkan kekurangan dan kelemahan dalam aspek sekuriti kesihatan global dan beberapa cadangan telah dibuat supaya semua negara memberikan perhatian terhadap jurang yang ada.


Susulan dari itu, ada yang telah melaksanakan sesuatu dan sebahagian yang lain pula tidak mempedulikannya.


Berikutan daripada wabak SARS maka lahirlah International Health Regulations versi semakan pada 2005.



Sedangkan wabak Ebola pada 2014 dan 15 telah menghasilkan pembentukan Pandemic Emergency Financing Facility, WHO Emergencies Programme dan Independent Oversight Advisory Committe.


Platform baru?


Dunia sebenarnya tidak memerlukan lain-lain panitia atau lain-lain organisasi. Mamadailah dengan sistem dan organisasi yang sedia ada ini diperkukuhkan yakni termasuklah aspek pembiayaannya.



Dunia tidak lagi mampu bertahan dengan sikap mudah lupa yang telah mendasari respons terhadap sekuriti kesihatan buat sekian lama.


Inilah masanya bagi bebenang sekuriti kesihatan global yang sekarang ini berpisah-pisah dipintal menjadi satu Plan Pandemik Komprehensif iaitu satu plan yang kukuh dan tidak mudah putus.


Dunia tidak berdepan masalah kekurangan peralatan, sains dan sumber untuk membolehkannya muncul selamat daripada pandemik-pandemik. Apa yang dunia kekurangan adalah komitment dalam menggunakan peralatan dan kemudahan yang dimiliki.


Biodata


Dr Tedros adalah pakar penyelidik kesihatan awam. Beliau juga seorang politikus iaitu Mantan menteri luar Ethiopia dan terkini: Ketua Pengarah WHO bermula dari 2017.

Last-Modified: Teusday, 28 December 2021 23:08:32 GMT


Ulasan

Terbaru

⬅Tatal ke kiri

AKAN DATANG

Animasi elektromagnetik dan fotoelektrik: artikel mengenai foton dan perubatan akan muncul tak lama lagi.

Efek Fotoelektrik

Oleh Infomedikini

Anod Katod - + Wayar Bateri Meter Amp Ulang

Animasi fotoelektrik

Animasi penjanaan X-ray

Oleh Infomedikini

Pecutan elektron Elektron Nukleus X-ray Ulang Maaf, browser anda tidak menyokong SVG
Covid-19
Pandemik

⬅Tatal ke kiri