COVID-19: Tiada Jalan Pintas Dan Tiada Penawar Yang Mujarab
Oleh: Infomedikini
Kebergantungan kepada 'imuniti kelompok' untuk berdepan dengan pandemik seperti COVID-19 adalah tidak beretika, menurut Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Oleh itu imuniti kelompok bukanlah satu opsyen yang molek. Justeru ahli-ahli disarankan untuk terus berusaha dengan strategi-strategi yang lebih beretika.
Imuniti kelompok pada dasarnya adalah konsep yang diprogramkan bersama dengan vaksinasi. Jangkaannya ialah sebahagian kecil populasi yang rentan akan mendapat perlindungan apabila sebilangan besar populasi memperoleh imuniti.
Ketua Pengarah WHO iaitu Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus telah dalam satu sidang media, awal minggu ini, mengingatkan pihak-pihak tertentu iaitu imuniti kelompok adalah strategi bagi melindungi dunia daripada ancaman virus dan bukan membiarkan dunia terdedah kepadanya.
Beliau seterusnya menegaskan iaitu tidak pernah dalam sejarah kesihatan awam yang mana imuniti kelompok merupakan strategi pilihan dalam berdepan dengan sesuatu wabak. Ia adalah satu pendekatan yang jelik di sudut etika dan juga sains.
Hakikatnya bukanlah mudah untuk menghasilkan imuniti kelompok. Sebahagian besar kekangan adalah bilangan populasi yang perlu divaksinasi. Sebagai contohnya, bagi mendapatkan imuniti kelompok terhadap demam campak (measles), setidak-tidaknya 95% warga dunia harus mendapat vaksin penyakit berkenaan.
Dalam konteks COVID-19 dan imuniti kelompok, peratusan imuniti terhadap viruskorona setakat ini adalah kurang lebih 10% dan ini bermakna 90% warga dunia masih berisiko mendapat jangkitan.
Justeru Dr. Tedros membayangkan sekiranya wabak ini dibiarkan begitu sahaja, ia adalah seumpama membenarkan jangkitan, penderitaan dan kematian berskala besar berlaku sedangkan ianya adalah tidak perlu.
Dalam sehari dua ini dunia menyaksikan kenaikan tertinggi bilangan kes-kes terutamanya di Benua Eropah dan Benua Amerika semenjak pandemik ini bermula. Banyak bandaraya dan negara-negara telah melaporkan peningkatan kes-kes positif yang dimasukkan ke hospital-hospital dan unit-unit rawatan rapi.
Apa yang ketara ialah penularan pandemik ini adalah tidak sama rata. Ada negara yang teruk dilanda dan ada yang sekadar terkena tempiasnya sahaja. Makanya pendekatan yang diambil adalah berbeza-beza mengikut situasi dan lokaliti. Apapun yang dipilih, sekadar melihat virus bebas mewabak bukanlan pendekatan yang berhemah, tegas Dr Tedros.
Sesungguhnya tiada jalan pintas di hadapan pandemik ini dan belum ada penawar yang mujarab. Pandemik yang berlarutan dan bilangan kes yang meningkat semula adalah naratif yang mengecewakan.
Sungguhpun begitu di belakang kekecewaan tersebut masih ada pendekatan yang terbukti berkesan iaitu pendekatan komprehensif yang mengoptimumkan apa yang ada.
Last-Modified: Thursday, 20 January 2022 16:56:34 GMT
Ulasan