Ujian kendiri COVID-19


Oleh Infomedikini


Sabtu, 30 Oktober 2021


Bagi virus SARS-Cov-2 ianya boleh dikesan dengan 3 cara iaitu ujian antigen, antibodi atau molekular.


Pelaksanaan ujian antibodi perlukan spesimen darah untuk dijayakan justeru sukar untuk dijadikan ujian kendiri.


Ujian molekular atau nama lain baginya adalah NAAT adalah secara teknikalnya rumit untuk dilaksanakan makanya sukar jugalah dilakukan sendiri.


Langkah-langkah dalam ujian pengesanan antigen adalah lebih mudah diikuti dan ujian ini boleh disiapkan dalam beberapa minit sahaja. Oleh itu ujian jenis ini boleh dilakukan sendiri.


Kini, antigen SARS-Cov-2 boleh dikesan dengan kit diagnostik pantas iaitu (RDT). RDT juga dikenali sebagai RTK atau Ag-RDTs


Bagus atau tidak peranti RTK dinilai berdasarkan paras sensitiviti dan spesifisitinya. Saranan WHO adalah pilih peranti yang memiliki paras sensitiviti ≥ 80% dan spesifisiti ≥ 97%.


Apapun peranti yang dipilih, hasil ujian RTK adalah bersifat kualitatif iaitu ada atau tiada antigen dan bukan berapa banyak antigen dikesan.


Kumpulan sasar

Ujian RTK disasarkan terutamanya kepada kes bergejala dan kes tanpa gejala tetapi berisiko mendapat jangkitan.


Komponen

Kit RTK mengandungi empat komponen utama iaitu kartrij: imej-1, larutan tampan atau buffer, pengumpul spesimen dan kertas panduan cara guna.


Kartrij RTK (imej-1) adalah kepingan plastik persegi empat yang rata-ratanya berukuran 8 sm panjang dan 2 sm lebar. Terdapat dua lekukan menyerupai kawah kecil pada permukaan atas kartrij.

Kartrij ujian RTK

Imej-1: Kartrij RTK


Lekuk/kawah pertama berada di bawah abjad S (singkatan bagi sampel) dan berbentuk bulat. Sampel daripada spesimen akan dititiskan ke dalam bulatan ini.


Lekuk kedua berbentuk bujur dan memanjang dan ianya berada di bawah abjad T (singkatan bagi test) dan C (singkatan bagi control). Bar berwarna akan muncul dalam lekuk ini beberapa minit selepas sampel meresap tiba dari kawah S.


Ujian kendiri

Ujian kendiri bermaksud melakukan sendiri pengambilan spesimen, membuat sampel, merumuskan hasil atau kesemuanya.


Bila nak buat ujian, baca dengan teliti kertas panduan. Ini kerana lain peranti, lain pula arahannya. Berikut adalah aspek-aspek yang mungkin berbeza:

  • Cara spesimen diambil
  • Cara spesimen dicampur ke dalam larutan tampan bagi menghasilkan sampel.
  • Kuantiti sampel yang hendak dititiskan ke dalam kawah S
  • Warna bar.
  • Pemasaan interpretasi: julat masa rumusan boleh dibuat.

Interpretasi perlu dibuat dalam lingkungan masa yang ditetapkan yakni tidak terlebih awal atau terlebih lewat.


Keputusan kualitatif yang boleh dirumuskan berdasarkan taburan bar adalah negatif, positif, positif lemah atau tidak sah.


RTK negatif

Diperoleh bila bar C muncul tetapi tidak bar T. Lihat video-1.


Video -1; Animasi ujian RTK dengan keputusan negatif.


RTK tidak sah


Terhasil bila bar T muncul tetapi tiada bar C. Lihat video-2.


Video-2: Animasi ujian RTK dengan keputusan tidak sah


RTK positif

Dirumuskan bila kedua-dua bar T dan bar C muncul. Lihat video-3.


Video-3: Animasi ujian RTK dengan keputusan positif


RTK positif lemah

Bila bar T dan bar C muncul dan meskipun bar T adalah kabur namun keputusan masih dikira positif yakni positif lemah (weak positive). Lihat video-4.


Video-4: Animasi ujian RTK.


***Kemunculan bar dalam video 1-4 sengaja dicepatkan animasinya bagi memendekkan durasi video.


Limitasi

Ujian RTK adalah kurang sensitif berbanding NAAT seperti RT-PCR terutamanya pada kes tanpa gejala. RTK dengan itu boleh gagal mengesan individu yang dijangkiti.


Untuk mendapatkan keputusan yang boleh dipercayai, RTK perlu dilaksanakan ketika muatan virus (viral load) adalah tinggi iaitu 5-7 hari selepas gejala bermula.


RTK mungkin gagal mengesan antigen sekiranya berlaku mutasi genom.


Ujian mungkin positif walhal tiada jangkitan berlaku. Keadaan ini dikenali sebagai positif palsu (false positive).


Punca-punca positif palsu:

  • Pengambilan spesimen tidak ikut panduan.
  • Kit ujian yang tidak ikut spesifikasi WHO.
  • Kartrij dibuka terlalu awal sebelum digunakan.
  • Ujian dirumuskan lebih lewat daripada masa yang ditetapkan.
  • Kontaminasi bersilang.
  • Spesimen yang terlebih likat.

Impak negatif daripada positif palsu adalah isolasi kendiri yang tidak perlu.


Ulang ujian

Kes positif lemah (video-4) berkemungkinan adalah positif palsu. Atas sebab itu ujian akan diulang dengan kaedah lebih spesifik iaitu RT-PCR.


Individu bergejala tetapi ujian RTK adalah negatif, namun sekiranya ia berisiko mendapat jangkitan, eloklah mengulangi ujian dengan kaedah RT-PCR atau kaedah sama (RTK) sekiranya tiada capaian kepada RT-PCR.


Last-Modified: Wed, 28 Sep 2022 17:09:56 GMT


Ulasan

Terbaru

⬅Tatal ke kiri

AKAN DATANG

Animasi elektromagnetik dan fotoelektrik: artikel mengenai foton dan perubatan akan muncul tak lama lagi.

Efek Fotoelektrik

Oleh Infomedikini

Anod Katod - + Wayar Bateri Meter Amp Ulang

Animasi fotoelektrik

Animasi penjanaan X-ray

Oleh Infomedikini

Pecutan elektron Elektron Nukleus X-ray Ulang Maaf, browser anda tidak menyokong SVG
Covid-19
Pandemik

⬅Tatal ke kiri