Apakah Benar Parasetamol Mujarab Terhadap Covid-19?
Oleh: Infomedikini
Pada: 3 April 2022
Individu yang dijangkiti oleh COVID-19 yang mengambil apa jua ubat atau penawar dan bila diuji dengan kit RTK pada keesokan harinya lalu didapati negatif makanya apakah boleh disimpulkan bahawa ubat atau penawar tersebut sebagai mujarab?
Saya ajukan kesimpulan di atas dalam bentuk pertanyaan kerana apakah benar ada bahan yang mampu mengubah ujian RTK daripada positif menjadi negatif dalam tempoh sehari?
Ada dakwaan yang dimuat naik ke platform media sosial yang mempromosikan bahan-bahan tertentu mampu menghasilkan ujian RTK dengan keputusan negatif dalam tempoh sehari. Apakah benar dakwaan tersebut?
Saya akan menjawab dakwaan tersebut berpandukan pengalaman kendiri dan petikan maklumat yang dipaparkan dalam laman sesawang WHO.
Pengalaman terkini saya melibatkan salah seorang kakitangan bawahan yang tiba-tiba tidak sihat. Semua simptom-simptom yang beliau alami adalah amat berkaitan dengan Covid-19. Simptom-simptom yang paling teruk adalah sengal dan bisa-bisa badan.
Justeru saya lakukan ujian RTK ke atas beliau dan keputusannya adalah positif. Dapatan ini menunjukkan kakitangan tersebut (pesakit) telah dijangkiti oleh Covid-19. Susulan itu, dapatan berkenaan dilaporkan ke dalam Sistem Informasi Makmal Kesihatan Awam (SIMKA).
Imej-1: Ilustrasi ujian RTK keputusan positif
Memandangkan saya tiada akses kepada ubat-ubatan antivirus bagi COVID-19, saya hanya menasihatkan pesakit supaya menjalani isolasi di rumah selama 7 hari dan mengambil parasetamol bila diperlukan bagi mengurangkan demam, sengal-sengal dan bisa-bisa badan.
Sehari lepas itu, pesakit berasakan simptom-simptom yang dialami telah banyak berkurangan lalu meminta ujian RTK diulangi. Selain memenuhi permintaan pesakit, ujian ulangan yang diminta adalah peluang buat saya menambah kefahaman tentang jangka masa ujian RTK bertukar dari positif menjadi negatif.
Apa yang saya tahu berdasarkan pengalaman terkumpul adalah bukan sedikit kes RTK positif berubah menjadi negatif pada keesokan harinya, malahan ada juga yang diuji positif di sebelah pagi tetapi diuji negatif pada sebelah petang. Meskipun diuji negatif namun dapatan ini diabaikan kerana ujian positif pertama yang akan diambil kira.
Berbalik kepada ujian ulangan ke atas pesakit, keputusannya adalah negatif. Maknanya kit ujian tidak mengesan adanya antigen COVID-19 dalam sampel yang diuji. Boleh saja disimpulkan bahawa virus telah hapus dan pesakit telah bebas jangkitan?
Imej-2: Ilustrasi ujian RTK keputusan negatif
Apa yang boleh difahami mengenai dakwaan ke atas bahan/produk tertentu (penawar) yang apabila diambil akan menghasilkan keputusan RTK negatif adalah ujian RTK akan kekal positif sekiranya penawar yang dicanangkan itu tidak diambil.
Hakikatnya, menerusi pengalaman, kes-kes yang berubah menjadi negatif tidak pula mengambil apa-apa penawar kerana kebanyakannya baru dikesan dengan kit kendiri dan perlukan pengesahan sebelum mengambil rawatan.
Berbalik kepada pesakit ini, beliau mengambil parasetamol. Kalau RTK negatif dijadikan kriteria jangkitan telah berakhir makanya parasetamol boleh diangkat sebagai penawar yang mujarab untuk COVID-19. Saya dengan itu boleh membuat testimoni ini: "Tak perlu penawar lain, parasetamol sudah memadai bagi mengubah RTK positif menjadi negatif dalam tempoh 24jam."
Sebelum itu saya juga terfikir iaitu pesakit bukan saja mengambil parasetamol tetapi beliau juga makan dan minum. Jadinya dakwaan di atas adalah tidak lengkap. Dakwaan yang lengkap adalah: “Selain parasetamol, makan dan minum juga mampu mengawal COVID-19”.
Sebelum anda termakan dengan dakwaan saya itu, anda perlu tahu bahawa yang membuatkan ujian RTK pantas bertukar menjadi negatif bukanlah parasetamol atau lain-lain produk tetapi ada kaitan dengan fakta-fakta berikut:
1. Penggunaan sampel cecair oral atau calitan hidung. Ujian menggunakan sampel cecair oral tidak berupaya menghasilkan keputusan yang konsisten berbanding ujian menggunakan sampel calitan hidung. Ini kerana cecair oral mudah dicemari oleh makanan, minuman dan asap rokok. Kajian pula mendapati viral load di belakang hidung adalah lebih tinggi berbanding mulut. Justeru kadar pengesanan virus menggunakan cecair oral adalah lebih rendah berbanding calitan hidung.
2. Penggunaan kit RTK atau PCR. Ujian dengan kit pantas RTK tidaklah secekap ujian jenis molekular seperti PCR. Sekiranya viral load adalah rendah atau viral shedding sangat sedikit sewaktu ujian dilakukan makanya ujian RTK akan berkeputusan negatif palsu sedangkan ujian PCR akan terus positif.
3. Respons awal badan menerusi innate immune respons terhadap jangkitan virus ialah penghasilan interferon iaitu bahan kimia yang sangat berupaya menghalang replikasi virus. Keberkesanan interferons dalam menghalang replikasi virus adalah tiada tolok-bandingnya. Tanpa replikasi, viral load akan berkurangan dan viral shedding hampir tidak berlaku dan oleh itu ujian RTK akan memberikan keputusan yang negatif.
4. Ujian kali pertama di buat setelah beberapa hari berlalu yakni ketika viral load dan viral shedding sudah menurun dan sukar dikesan pada ujian ulangan.
Kesimpulannya: Dakwaan saya itu dalah tidak benar. RTK benar-benar menjadi negatif bukan kerana parasetamol atau lain-lain penawar sebaliknya disebabkan oleh kecekapan sistem imuniti badan. Meskipun RTK didapati negatif selepas keputusan awal adalah positif, kajian mendapati virus aktif masih boleh dikesan dengan ujian PCR waima hingga 21 hari. Oleh kerana ujian PCR berupaya mengesan virus aktif meskipun ujian RTK gagal melakukannya makanya RTK negatif bukan petanda pesakit telah bebas jangkitan dan boleh keluar daripada isolasi. Sebaliknya pesakit perlu terus menjalani isolasi ikut tempoh yang ditetapkan oleh KKM.
Last-Modified: Sun, 3 Apr 2022 15:00:06 GMT
Ulasan