Kaedah penyejukan paling praktikal bagi mengatasi topik hangat yang menyelubungi bedak talkum
Pengenalan:
Laporan mengenai syarikat pembuat bedak ternama dan terbesar di dunia yang didakwa di Mahkamah Amerika Syarikat (AS) atas dakwaan produk keluaran syarikat berkenaan sebagai memudaratkan bolehlah disimpulkan sebagai kes pengguna yang terjejas selepas menggunakan sesuatu produk telah menggunakan haknya untuk mendakwa pekilang yang disyaki sebagai tidak jujur dan memandang remeh masalah yang mampu diakibatkan oleh produk yang mereka jual dan digunakan oleh pengguna yang terjejas.
Kewajipan:
Kewajiban pekilang adalah banyak. Selain kepatuhan kepada syarat-syarat pelesenan, kilang-kilang yang beroperasi wajib memastikan aspek-aspek berikut tidak dipandang enteng:
- Persekitaran dalam kilang harus selamat buat para pekerja.
- Persekitaran di luar kilang harus selamat buat penduduk yang tinggal berdekatan dengan kilang.
- Barang-barang yang dihasilkan untuk dipasarkan adalah baik, halal, tulen, bersih dan selamat jika digunakan.
- Ada Tanda Amaran bagi barang-barang yang boleh menghasilkan kesan-kesan buruk atau berbahaya.
Rokok adalah satu contoh produk dari kilang yang mengandungi bahan karsinogen iaitu agen penyebab kanser yang memudaratkan penghidapnya. Walaupun rokok diketahui sebagai bahaya kepada pengguna, ia masih boleh dijual dengan syarat amaran tentang bahaya yang tersembunyi dalam sekotak rokok itu dimaklumkan kepada bakal pembeli.
Satu cara untuk amaran tersebut disampaikan kepada bakal pembeli adalah dengan mencetak Tanda Amaran pada kotak rokok. Dengan adanya Tanda Amaran maka terpulanglah kepada pembeli sama ada mahu mengambil atau menolak risiko yang terkandung dalam asap rokok.
Sebelum adanya Tanda Amaran, pekilang rokok terutama di Amerika Syarikat (AS) boleh didakwa dan didenda berbilion Dolar bila perokok mendapat kanser sedangkan amaran tentang risiko mendapat kanser tidak diterakan pada kotak rokok.
Rokok bukanlah satu-satunya produk yang mengandungi karsinogen. Lain-lain produk seperti kimia pelurus rambut adalah juga mengandungi karsinogen (formaldehid). Bahan-bahan yang diperbuat daripada PVC dan bahan-bahan binaan yang mengandungi asbestos adalah juga bersifat karsinogen.
Fakta seperti rokok adalah penyebab kanser paru-paru atau asbestos adalah penyebab kanser mesotelioma adalah tidak diragui akan kebenarannya dan tiada percanggahan pendapat mengenainya. Kalau tanda amaran diwajibkan bagi rokok, mana-mana bahan yang mengandungi habuk asbestos juga wajib diterakan Tanda Amaran.
Imej-1: Tanda Amaran bahaya asbestos.
Bedak Diyakini Selamat
Umumnya produk kosmetik seperti bedak tidaklah dipantau dan tidak perlu diterakan apa-apa amaran sebagaimana produk farmaseutikal hinggalah ada rungutan atau aduan yang berasas barulah ia dipantau dan disiasat.
Lagipun bedak seperti bedak talkum adalah bahan yang digunakan hampir setiap hari oleh semua peringkat usia dan diyakini selamat dan kajian juga mendapati ia adalah selamat digunakan. Oleh itu bila bedak talkum digembar-gemburkan sebagai penyebab mesotelioma ia mencetuskan kontoversi dan polemik yang berpanjangan.
/>
Imej-2: Bedak talkum
Benda Asing Dalam Bedak
Ada beberapa jenis bedak dan bedak talkum adalah bedak yang paling banyak digunakan untuk tujuan kosmetik dan penjagaan kulit. Bedak talkum diperbuat daripada sejenis bahan iaitu talk. Talk adalah mineral semula jadi yang terdapat di dalam bumi. Ia diambil secara perlombongan dan dihantar kepada pengilang untuk diproses menjadi bedak dan produk-produk lain bagi keperluan sektor binaan, kosmetik dan farmaseutikal.
Ketulenan Bedak Talkum
Dari segi kimia, talk adalah magnesium silikat hiderat. Kompisisi kimianya adalah Mg3Si4O10 (OH)2. Talk adalah mineral lengai iaitu ia tidak menunjukkan tindakbalas kimia aktif terhadap kulit. Namun, talk yang berada di dalam bumi adalah bercampur-baur dengan lain-lain mineral dan benda-benda asing.
Proses membuat bedak talkum bukanlah mudah bila benda-benda asing seperti asbestos -- tremolite dan chrysolite -- dan lain-lain benda asing iaitu chlorite, dolomite, calcite, iron oxide, carbon quartz dan MnO2 perlu diasingkan supaya hasil akhirnya adalah bedak yang tulen
Oleh kerana proses penulenan bedak talkum tidaklah semudah mengasingkan antah dari beras, sukar dibayangkan bagaimana ianya mampu dilaksanakan dan timbul keraguan samada proses penulenan sepenuhnya boleh dijayakan atau sebaliknya.
/>
Imej-3: Pandangan mikroskopik bedak talkum dicemari asbestos
Kriteria Selamat
Kualiti bedak talkum yang selamat digunakan menurut Organisasi Kesihatan Sedunia atau singkatannya adalah WHO bagi bedak talkum adalah "Bebas Daripada Asbestos" atau Free Of Asbestos atau boleh disingkatkan sebagai FOA. Apa maksudnya? Kefahaman harfiahnya adalah bedak talkum mestilah tidak mengandungi partikel-partikel asbestos untuk dianggap selamat digunakan.
Tempat yang akan mengesahkan status FOA bagi bedak talkum adalah makmal. Bedak yang disahkan sebagai tulen yakni bedak talkum berstatus FOA adalah layak diguna. Sementara bedak yang tidak bebas daripada pencemaran asbestos iaitu tidak berstatus FOA dianggap tidak selamat dan harus tidak sampai kepada pengguna.
Laporan terbitan makmal-makmal di AS yang ditugaskan untuk menentukan paras asbestos dalam bedak talkum tidak pula menggunakan istilah Bebas Daripada Asbestos atau FOA ke atas bedak yang di periksa. Istilah yang digunakan adalah "Tiada Abestos Dikesan" atau NAD iaitu No Asbestos Detected. Sama ada NAD juga bermaksud bebas daripada asbestos atau FOA tidak pula dihuraikan.
Persamaan atau kelainan dari segi makna bagi singkatan FOA dan NAD menatijahkan dua implikasi berbeza. Natijah dari persamaan maksud bagi FOA dan NAD adalah bedak yang berstatus NAD adalah juga berstatus FOA dan implikasinya adalah bedak talkum yang disahkan di makmal sebagai NAD adalah sepatutnya selamat.
Sekiranya NAD tidak bersamaan maksud dengan FOA, natijahnya ialah bedak talkum yang disahkan sebagai NAD masih berkemungkinan dicemari asbestos tetapi asbestos itu tidak dapat dikesan menerusi kaedah sedia ada di makmal dan dengan itu bedak NAD tidaklah menepati saranan WHO. Implikasinya adalah penggunaan bedak NAD mungkin terdedah kepada asbestos dalam dos yang rendah walhal fakta yang tidak diragui kebenarannya mendapati asbetos dalam dos yang rendah sekali pun masih mampu menyebabkan kanser mesotelioma dan ovari.
Apa Seterusnya?
Catatan sejarah menunjukkan bedak talkum telah digunakan sejak ribuan tahun dahulu di Negeri Mesir. Sifat-sifat seperti lembut, licin dan penyerap lembapan adalah kelebihan-kelebihan yang dimiliki oleh bedak talkum yang sukar diganti. Keyakinan konsumer terhadap bedak talkum adalah sentiasa tinggi. Keyakinan itu sedikit melonggar pada 1970 bila digegarkan oleh perkhabaran iaitu bedak talkum dicemari bahan asbestos dan pada ketika itu asbestos telah terbukti karsinogenik terhadap sel-sel manusia.
Bila kepentingan ramai dipertaruhkan lazimnya isu yang berlegar-legar akan mendapat perhatian tertinggi dan di selesaikan secepat mungkin agar tidak mengawang-awang terlalu lama. Isu bedak talkum yang bermula pada 1970 di AS itu masih berlarutan. Sebahagiannya dirumitkan oleh percanggahan pendapat dalam kalangan-kalangan yang berkepentingan. Keputusan akhir adalah dinanti-nantikan oleh pengguna di mana-mana jua kerana bedak talkum keluaran syarikat dari AS itu berada di mana-mana jua.
Mahkamah AS akan membuat keputusan sama ada bedak talkum bebas asbestos atau dicemari oleh asbestos. Keputusan itu nanti bakal menentukan tindakan susulan yang bakal diambil oleh pengguna. Sebelum keputusan itu tiba, fakta-fakta tambahan boleh didapatkan dengan mudah dengan menggunakan hujung jari sahaja.
Fakta-fakta tambahan akan membantu pengguna dalam membuat tindakan interim yang betul dan menahan pengguna agar tidak melatah tanpa justifikasi. Pencarian di internet mendapati kes pencemaran bedak talkum dan mudarat yang dipuncakan olehnya adalah berkaitan dengan bedak talkum yang dikilangkan puluhan tahun yang lalu. Sekarang lain dahulu lain. Banyak yang telah berubah.
Bedak talkum kini jauh lebih murni. Ianya dicapai dengan adanya kesedaran tentang peri pentingnya pemilihan tapak perlombongan bebas asbestos dan dengan adanya teknik pengasingan benda-benda asing yang dipertingkatkan, bedak talkum sekarang ini bolehlah dikatakan lebih tulen dan selamat berbanding bedak talkum era Pak Kaduk.
Apa Nak Buat?
Bagi mereka yang skeptikal akan adanya kebenaran disebalik dakwaan terhadap bedak talkum, apa yang boleh dilakukan adalah 'tunggu dan lihat'. Bagi pihak yang merasakan ada benarnya dakwaan tadi, mereka boleh mencuba sesuatu yang berlainan dari kebiasaan.
Produk alternatif kepada bedak talkum adalah bedak berasaskan biji-bijian seperti jagung, gandum, badam, tapioka dan beras. Tepung gandum mengandungi gluten iaitu boleh bertindak sebagai alergen iaitu punca alergi dan jagung pula mengandungi gula yang lazimnya akan menarik semut-semut menghurunginya sedangkan beras adalah bebas alergen dan rasanya adalah tawar. Oleh itu pilihan paling praktikal bagi mengambil tempat bedak talkum adalah bedak berasaskan beras.
Potensi Bedak Berasaskan Beras
Dari segi tekstur bedak yang diperbuat dari beras atau dikenali sebagai bedak sejuk tidak dapat menandingi tekstur bedak talkum. Namun bedak sejuk juga ada kelebihan. Kajian mendapati bedak sejuk adalah mengandungi mineral, antioksidan, enzim, vitamin dan biokimia yang berpotensi untuk melindungi, menyegarkan, menyihatkan, meremajakan dan melicinkan kulit kalau potensi tersebut dapat di cungkil seoptimum mungkin.
Imej-4: Butiran bedak sejuk
Bedak berasaskan beras atau bedak sejuk adalah produk tradisional iaitu dibuat mengikut kaedah lama. Nilainya boleh dipertingkatkan dengan kaedah pembuatan kontemporari dan penggunaan air rendaman beras bagi mencairkan butiran-butiran bedak tatkala mahu digunakan.
Last-Modified: Teusday, 14 December 2021
Rumah🏠
Ulasan