Medikal Oksigen Adalah Ubat


Oleh Infomedikini


Selasa, 7 September 2021


P
aras ketepuan oksigen darah yang normal adalah 95%-100%. Hipoksemia terjadi bila paras oksigen darah lebih rendah daripada normal. Susulan dari itu paras oksigen tisu juga ikut menjadi rendah dan keadaan ini diistilahkan sebagai hipoksia.

Paras oksigen yang normal membolehkan sel-sel melengkapkan proses respirasi iaitu makanan ditukar menjadi tenaga setelah bergabung dengan oksigen. Kurang oksigen, homeostasis sel akan terjejas, sel-sel akan kekurangan tenaga, menjadi lemah dan akhirnya mati.


Paras oksigen normal dicapai bila seseorang bernafas dalam udara ambien dengan ketepuan oksigen melebihi 19.5 %. Itu pun dengan syarat sistem pernafasan berfungsi dengan baik dan tiada kelemahan kepada sistem edaran darah.


Komplikasi paru-paru


COVID-19 adalah penyakit berjangkit bahaya yang sukar dibendung. Virus yang menyebabkan penyakit ini adalah SARS-CoV-2.


SARS-CoV-2 mensasarkan radang kepada paru-paru dan komplikasi teruk iaitu sindrom respiratori akut atau singkatannya adalah ARS.


Pesakit COVID-19 dengan itu akan menunjukkan gejala-gejala yang antara lainnya adalah demam, batuk, sakit dada dan sukar bernafas -- dipsnea.


Bila fungsi sistem pernafasan terjejas dan hipoksemia menjelma dan bila ia disusuli oleh hipoksia makanya sel-sel dan organ-organ kian sukar bekerja. Kesudahannya pesakit yang hipoksik menjadi tenat dan mungkin hilang nyawa.


Dengan angka kematian global melebihi 4.5 juta adalah jelas betapa letalnya COVID-19. Pandemik yang masih melata-lata ini nampaknya perlukan bukan saja kekuatan rohani dan jasmani malah kekuatan akal untuk mendepaninya.


Kelicikan tiada tanding


Seperti yang di sebutkan dalam artikel-artikel sebelum ini bahawa COVID-19 adalah virus yang sangat licik. Kelicikan itu kini semakin tiada batasnya.


Bukan sahaja sukar dijejak asal usul virus ini malah pencarian ubat-ubatan yang berkesan dan selamat juga berkali-kali lebih sukar.


Varian-varian baru yang ia jelmakan adalah rata-rata lebih letal sedangkan vaksin teknologi baru sukar menjadi perisai terampuh.


Tak hairanlah kalau paras oksigen darah pesakit menurun tetapi apabila hipoksia seolah-olah tidak terkesan kepada pesakit ia amat menghairankan. Hipoksia sebegini diistilahkan sebagai hipoksia senyap.


Hipoksia senyap


Radang dan ARS paru-paru adalah penghalang besar bagi penyerapan oksigen. Akibatnya paras ketepuan oksigen darah adalah subnormal.


Anehnya bila mana paras oksigen darah subnormal, pesakit seolah-olah tidak sedar akan kehadiran hipoksia.


Gambaran bagi hipoksia senyap boleh dilihat dalam perkongsian di media-media sosial.


Sejurus sebelum pesakit dibantu dengan mekanikal ventilator beliau dilihat mampu bercakap-bercakap menerusi panggilan video.

Walhal pada ketika itu pesakit sepatutnya terlalu lelah, lesu, tenat atau tidak sedarkan diri.


Tak lama selepas itu bila keluar berita pesakit tidak dapat diselamatkan, barulah kita sedar bahawa panggilan video itu adalah yang terakhir.


Gambaran di atas memberikan hipoksia senyap satu istilah lain iaitu hipoksia ceria


Hipoksemia boleh dikesan dengan tiga cara:

  • Kemampuan berjalan selama 6 minit tanpa dipsnea
  • Paras ketepuan oksigen SpO2
  • Ujian lebih terperinci iaitu ABG

Hipoksia senyap adalah situasi serius. Kalau berlarutan ia akan menaikkan kebarangkalian pesakit masuk ICU dan guna mekanikal ventilator.


Lebih daripada itu sekiranya tidak dirawat segera, pesakit berisiko sampai di hospital tetapi tidak bersama nyawanya: BID .


Oksigen dan udara ambien


Udara sekeliling atau udara ambien mengandungi beberapa jenis gas: iaitu nitrogen, oksigen, wap air, argon, karbon dioksida, helium dan metana.


Ketepuan gas-gas yang terkandung dalam udara adalah tidak sama:


  • Nitrogen:
    78%
  • Oksigen:
    20%
  • Argon:
    O.9%
  • Wap air:
    0.4%
  • CO2:
    0.04%
  • Lain2 gas:
    0.06%

⬅Tatal ke kiri


Manusia perlu bernafas dalam udara yang mengandungi oksigen dengan kepekatan melebihi 19.5% bagi mengekalkan paras oksigen darah normal dan mengelak hipoksia.


Memandangkan udara di sekeliling mengandungi oksigen dengan ketepuan 20%-21%, oksigen suplemen tidak diperlukan untuk kita bernafas 24/7 secara berterusan.


Bagi pesakit yang ada masalah paru-paru serius, bernafas dalam udara ambien saja tidak memadai untuk mendapatkan paras oksigen yang cukup.


Ukur paras oksigen


Peratusan ketepuan oksigen darah iaitu SpO2 boleh diukur dengan pulse oximeter (POX) -- Imej 1. Alat ini bersaiz kecil, agak murah dan boleh disimpan di rumah.


Bila nak guna, ia dipasang di hujung jari dalam aksi melakukan kepitan ringan. POX boleh juga dipasang pada telinga atau lain-lain bahagian badan. Ia akan otomatik memaparkan paras SpO2 pada skrin dalam tempoh beberapa saat.


Pulse oximeter

Imej 1: Pulse oximeter


Ada 3 parameter yang diukur oleh POX: paras ketepuan oksigen periferi (SpO2); denyutan jantung (HR) dan indeks perfusi periferi (Pi).


Julat normal bagi SpO2 adalah 95%-100%. Paras yang rendah -- 40%-80% -- akan menimbulkan tanda klinikal serius iaitu sianosis: hue kulit, jari, lidah dan bibir berubah kepada kebiru-biruan.


Medikal oksigen


Dalam konteks hipoksemia, oksigen dalam udara ambien saja tidak cukup untuk pernafasan. Justeru preskripsi medikal oksigen daripada doktor adalah rawatan yang diperlukan.


Jumlah aliran oksigen dan paras oksigen darah yang disasarkan perlu ikut nasihat yang diberikan. Ia kerana dos oksigen tidak boleh tidak cukup dan tidak boleh terlebih. Secara umumnya bacaan SpO2 pada tahap 92%-96% adalah sasaran yang dianggap memadai.


Medikal oksigen boleh dibekalkan dalam dua persediaan iaitu dalam bekas berbentuk silinder atau daripada mesin penjana pemekat oksigen.


Silinder oksigen -- Imej 2 -- mengandungi oksigen berlainan isipadu iaitu paling sedikit 200 liter hinggalah paling banyak 3450 liter.


Silinder mudah alih adalah ringan dan boleh digalas. Namun kandungan oksigen tidak bertahan lama.


Silinder yang telah kosong boleh diulang isi oleh pembekal cumanya ia mungkin mengambil masa atau perkhidmatan berkenaan tidak disediakan.


Oksigen dalam silinder perlu digunakan ikut panduan. Selain boleh tumbang, kebocoran juga boleh mendatangkan bahaya.

Tabung oksigen mudah alih

Imej 2: Silinder oksigen mudah alih<


Pemurnian oksigen


Udara sekitar mengandungi 78% nitrogen dan hanya 20%-21% oksigen. Sekiranya gas nitrogen ditapis keluar maka hasilnya adalah oksigen dengan kepekatan hampir 100%. Berpandukan konsep tersebut lahirlah produk pemekat oksigen.


Berikut adalah cara kerja mesin pemekat oksigen:


1. Udara disedut masuk ke dalam mesin
2. Udara dimampatkan
3. Gas nitrogen diasingkan dalam kebuk pengasingan
4. Hasilnya adalah bekalan berterusan oksigen dengan ketepuan 90-95%.

Cara kerja mesin pemekat oksigen

Imej 3: Mesin pemekat oksigen


Kriteria pemilihan mesin


Mesin pemekat oksigen (Imej 4) diproduksikan dalam pelbagai saiz mengikut isipadu oksigen yang mampu dihasilkan setiap minit: 1 liter/min; 5 liter/min; 10 liter/min


Alat bersaiz besar adalah seberat 35kg dan mampu membekalkan aliran oksigen lebih tinggi. Motornya digerakkan oleh kuasa elektrik oleh itu tidak boleh digunakan sewaktu bekalan elektrik putus.


Mesin yang bersaiz kecil adalah jauh lebih ringan iaitu sekitar 3.5kg dan motornya digerakkan oleh kuasa bateri. Selari dengan saiznya itu, aliran oksigen yang mampu dihasilkan adalah lebih kecil.


Motor menghasilkan bunyi. Namun ada mesin yang senyap.


Mesin yang berat guna roda untuk dialihkan sementara model yang ringan boleh saja digalas.


Ada produk yang diberikan waranti sampai 3 tahun.


Model yang mendapat kelulusan agensi penerbangan antarabangsa boleh digunakan dalam pesawat terbang.


Justeru ada mesin yang murah dan ada yang mahal.


Pemekat oksigen
Pemekat oksigen
bekas air
Bekas air

Alat salur


1. Pelembab gas


Oksigen bukan saja perlu dihangatkan ke suhu badan, ia perlu juga dilembabkan dengan bekas berisi air -- imej 5. Oksigen yang lembab akan menghalang saluran pernafasan daripada menjadi kering dan tidak selesa.


2. Tiub salur


Oksigen perlu disalurkan menggunakan tiub plastik khas (Imej 6) supaya kuantiti yang sesuai disalurkan kepada pengguna.


3. Pelitup muka plastik.


Topeng oksigen berfungsi bagi menyalurkan oksigen aliran rendah. Ia membenarkan O2 masuk ke hidung dan CO2 dihembus ke udara -- Imej 7.


Tiub salur
Tiub salur
Topeng oksigen
Topeng oksigen

Kanula konvensional


Adakalanya penggunaan pelitup muka plastik tidak mampu menaikkan paras oksigen darah apabila aliran oksigen yang diperlukan adalah tinggi. Untuk itu kanula nasal konvensional (Imej 8) boleh digunakan.

Ia adalah tiub plastik lembut dengan dua muncung nasal -- prong nasal -- yang dimuat masuk ke rongga hidung. Penggunaan yang lama boleh menimbulkan kerengsaan.


Kanula takungan: Oksimizer


Sekiranya preskripsi medikal oksigen melebihi 4 liter per minit, kanula oksimizer adalah jawapannya -- Imej 9. Saiz lumen alat ini adalah lebih besar dan dilengkapkan dengan komponen takung khas yang berkuasa menepukan oksigen sehingga 100%.


Kanula
Kanula
Oxymizer
Oxymyzer

Long COVID


Gejala akut COVID-19 boleh berlarutan beberapa minggu. Bagi penghidap long COVID, bukan saja beberapa gejala lama boleh berpanjangan malahan gejala-gejala baru boleh juga muncul selepas sebulan.


Ini bermakna meskipun pesakit telah bebas daripada jangkitan dan discaj, mereka masih perlu meneruskan rawatan di rumah sekiranya mengalami gejala long COVID.


Sekiranya pesakit masih mengalami masalah pernafasan susulan daripada paru-paru yang belum pulih sepenuhnya, preskripsi oksigen medikal adalah rawatan yang akan membantu pesakit untuk kekal aktif.


Konklusi


Permintaan terhadap medikal oksigen adalah tertinggi dalam sejarah bila pandemik COVID-19 melanda. Ia adalah ubat.

Dalam konteks baik dan buruk, ia sama seperti lain-lain ubat: kalau panduan diikuti ia melegakan masalah sebaliknya ia adalah racun kalau diguna tersasar dari panduan.


Pengguna perlu arif dengan tatacara penggunaan medikal oksigen bagi mendapat manfaat dan dalam masa sama dapat elak pembaziran, kesan samping dan bahaya.

Untuk tahu lebih lanjut ikuti panduan yang disediakan oleh WHO.


Last-Modified: Sat 10 Sept 2022 22:09:56 GMT


Ulasan

Terbaru

⬅Tatal ke kiri

AKAN DATANG

Animasi elektromagnetik dan fotoelektrik: artikel mengenai foton dan perubatan akan muncul tak lama lagi.

Efek Fotoelektrik

Oleh Infomedikini

Anod Katod - + Wayar Bateri Meter Amp Ulang

Animasi fotoelektrik

Animasi penjanaan X-ray

Oleh Infomedikini

Pecutan elektron Elektron Nukleus X-ray Ulang Maaf, browser anda tidak menyokong SVG
Covid-19
Pandemik

⬅Tatal ke kiri