Resdung Alahan
Kanak-kanak mudah terbersin-bersin bila dikelilingi oleh bunga-bungaan
Kanak-kanak dan selesema adalah satu asosiasi lazim. Ini kerana kanak-kanak sering mendapat selesema iaitu hidung yang lembab, tersumbat, bersin, dan mengeluarkan hingus. Selebihnya mereka lebih kerap mendapat selesema berbanding golongan dewasa. Kalaulah selesema yang dihidapi adalah demam selesema yang biasa, ia tidak akan melarat dan berpanjangan sebaliknya mampu sembuh dengan sendirinya dalam beberapa hari. Namun kalau simptom selesema: bersin dan nyenguk-nyengak atau sniffle masih berterusan selepas beberapa minggu, permasalahan berkemungkinan adalah berkaitan dengan alergi atau alahan
Bersin-bersin yang berpanjangan yang disertai oleh penghasilan hingus yang cair dan hidung yang merenyam-renyam adalah simptom-simptom bagi penyakit allergic rhinitis atau alahan hidung atau resdung alahan.
Resdung alahan berlaku bilamana udara yang dihidu mengandungi bahan berupa alergen yang apabila terdampar pada permukaan dalam hidung akan merangsang respons alahan
Punca Resdung
Imej debunga digandakan ukurannya
Penyebab bagi resdung boleh dibahagikan mengikut sumber alergen. Alergen boleh terdapat sama ada di luar rumah/bangunan atau di dalam rumah/bangunan. Alergen utama yang terdapat di luar sana adalah debunga: iaitu serbuk halus yang terdapat pada bunga di bahagian cepu debunga. Alergen yang terdapat di dalam rumah/bangunan adalah: kulat, najis haiwan dan hama: house dust mites.
Hama boleh merayap-rayap atau menyorok pada haiwan peliharaan, pada langsir, atas sofa fabrik, dalam bilik stor yang berdebu dan berhabuk dan di atas karpet. Oleh kerana penghasilan alergen yang ada di dalam rumah/bangunan adalah tidak bermusim seperti debunga yang terhasil hanya pada waktu pokok mengeluarkan bunga makanya resdung alahan yang disebabkan oleh kulat, hama dan najis haiwan boleh berlaku sepanjang masa.
Bawah ini adalah imej hama yang dilihat menerusi kanta pembesar. Untuk membesarkan lagi imej, sentuh bahagian hama yang disasarkan dan gegelung kanta pembesar akan berpindah ke kawasan sasaran.
Imej hama
Statistik Dan Faktor Keturunan
Hampir 40% kanak-kanak di negeri maju adalah berisiko mendapat resdung. Jumlah ini lebih besar bagi kanak-kanak di negeri beriklim tropika dan di negeri yang sedang membangun.
Faktor genetik memainkan peranan penting dalam pewarisan banyak penyakit. Dalam konteks alahan dan pewarisan, kanak-kanak lebih berisiko mendapat alergi sekiranya ibu atau bapa atau kedua-duanya menghidapi alergi.
Reaksi Sistem Imun
Alahan berlaku bila sistem imun badan bertindak balas terhadap alergen. Respons sel-sel imun terhadap alergen adalah penghasilan sebatian kimia bernama histamin dan beberapa sebatian kimia yang lain. Bahan histamin inilah yang akan mencetuskan gejala dalam hidung, kaviti sinus, mata, telinga, paru-paru, lapisan dalam perut dan pada kulit.
Bagi kanak-kanak tertentu, alergi juga boleh mencetuskan simptom lelah atau asma iaitu penyakit yang menyebabkan bunyi berdehit pada pernafasan atau wheezing dan sesak nafas.
Perlu disedari bahawa bila asma di cetuskan oleh alergi, asma sukar dikawal sekiranya alergi tidak di kawal bersama. Justeru bagi asma yang dicetuskan oleh alergi, kawalan asma jadi lebih mudah bila alergi adalah terkawal.
Pencegahan
Pencegahan paling berkesan ialah mengelak dari terhidu debunga, kulat, hama dan lain-lain alergen. Cumanya untuk meneruskan amalan sedemikian untuk tempoh yang lama adalah tidak praktikal.
Kesedaran akan kehadiran debunga-debunga di dalam udara bila berada di taman-taman bunga, di sawah-sawah padi dan di ladang-ladang dapat mengelak diri dari terdedah secara berlebih-lebihan.
Tiupan angin sepoi-sepoi bahasa adalah menyamankan dan dalam masa sama berupaya menerbangkan debunga-debunga. Debunga-debunga yang diterbangkan itu boleh memasuki rumah/bangunan menerusi tingkap dan pintu yang terbuka luas. Dengan itu alergi hidung disebabkan oleh debunga-debunga masih boleh berlaku meskipun berada di dalam rumah/bangunan. Penggunaan langsir atau menutup tingkap dan pintu dapat mengurangkan kemasukan alergen dari luar rumah.
Angin yang tenang jangan sangka tiada debunga. Meskipun tiada angin, debunga-debunga yang halus lagi ringan masih boleh terampai-ampai di udara lalu menyebabkan alahan.
Kulat tumbuh atas daun-daun yang kering dan reput. Hal ini harus disedari bila menyapu daun-daun kering bagi mengelak terhidu kulat dan mendapat resdung.
Rawatan Alergi
Mencegah lebih baik dari merawat. Kalau alergen yang jadi punya resdung adalah diketahui, mengelak dari terkena atau terhidu alergen akan mencegah dari mendapat alergi yang menjadi punca resdung jenis ini.
Kalau terkena jua, ubat alergi iaitu ubat antihistamin masih boleh dibeli terus di kaunter farmasi tanpa preskripsi.
Peringatan
Ubat sesuai untuk golongan dewasa tidak semestinya sesuai untuk kanak-kanak. Ubat untuk kanak-kanak tidak semestinya sesuai untuk semua kategori umur kanak-kanak.
Bila membeli lebih dari satu ubat pastikan ramuan aktif ubat yang tertera pada stiker botol adalah bukan kandungan yang sama. Ini kerana ramuan aktif yang sama boleh digunakan untuk melegakan simptom yang berbeza.
Kanak-kanak lebih sensitif terhadap ubat-ubatan berbanding orang dewasa. Ubat antihistamin untuk merawat alergi meskipun pada dos rendah boleh menyebabkan mengantuk, keterujaan dan lain-lain efek yang tidak dijangka.
Rawatan Lebih Khusus.
Bagi kes2 yang tidak dapat dikawal dengan pencegahan, antihistamin, ubat-ubatan preskripsi dan sering mendapat komplikasi resdung, Pakar Alergi Kanak-Kanak mungkin mencadangkan imunoterapi alergen atau lebih dikenali sebagai suntikan alergi atau allergy shots.
Ujian alahan dimuat turun dari Dr Tim Clayton DermExpert UK
Rawatan dimulakan dengan mengesahkan alergen yang menjadi punca alergi. Untuk itu ujian kulit dilakukan terhadap berbagai alergen yang disyaki akan memberikan reaksi. Seterusnya ekstrak alergen yang telah dikenal pasti itu akan disuntik dalam dos rendah dan diulangi dengan dos yang ditingkatkan sedikit demi sedikit dengan tujuan badan pada akhirnya akan memiliki imuniti terhadap alergen.
Seperti yang dimaklumkan oleh USFDA, ekstrak-ekstrak alergen adalah diproses dari bahan semula jadi iaitu dari debunga-debunga, bisa-bisa serangga, bahan-bahan makanan dan bulu-bulu haiwan.
Imunoterapi Alergen Tanpa Suntikan
Kini 'exstrak' debunga dan hama tidak perlu lagi disuntik. Sudah ada ekstrak yang boleh dikemam di bawah lidah dengan syarat rawatan dibuat di bawah pengawasan pakar.
Meskipun lebih ramai individu mengalami alahan kepada makanan seperti makanan laut berbanding alahan terhadap debunga, hama dan bulu haiwan namun rawatan imunoterapi alergen hanyalah sesuai untuk penyakit resdung sahaja tetapi kurang sesuai bagi alahan terhadap produk-produk makanan.
Ini bermaksud, bagi kes-kes alahan terhadap produk makanan tertentu, pendekatan paling berkesan bagi mengelak alergi adalah menahan diri atau berpantang dari memakan makanan penyebab alahan.
Rujukan
1. https://www. fda. gov/consumers/consumer- updates/allergy- relief- your-child.
2. Particularities of allergy in the Tropics: World Allergy Organ J. 2016; 9: 20
Last-Modified: Thu, 28 Apr 2022 17:09:56 GMT
Home
Ulasan