Punca vaksin influenza putus bekalan
Influenza bukanlah penyakit yang asing sebutannya. Cumanya penularan influenza ketika ini adalah agak berlainan dan kelainan itu boleh dicerap dan dirasai.
Kelainan ini diserlahkan dan disahkan pula oleh kenyataan media dari pihak berwajib dan digembar-gemburkan oleh pihak media dalam dan luar negara.
Berikut adalah petikan-petikan yang ada kaitan dengan wabak influenza terkini dan isu-isu yang menyelubungi atau terkait dengan wabak tersebut.
Malaysia
Harga
United Kingdom
Amerika Syarikat
Bidalan
Kekurangan sesuatu produk pengguna dari semasa ke semasa bukanlah aneh. Cumanya bila kekurangan itu membabitkan produk yang keperluannya dianggap kritikal, petikan di bawah ini tersimpan satu peringatan yang sesuai untuk direnung-renungkan:
"It’s better to have it and not need it than need it and not have it”
Isu kekurangan bekalan bawang merah adalah satu analogi produk pengguna yang menepati petikan tersebut. Lazimnya bila saya membeli bawang merah, ia bukan untuk kegunaan sehari sahaja tetapi untuk kegunaan satu hingga empat minggu.
Tujuan saya menyimpan bawang dalam kuantiti yang melebihi keperluan harian adalah kerana ia merupakan ramuan penting dalam hampir semua masakan. Dengan adanya stok bawang, bila-bila masa saja saya memerlukannya saya pasti boleh mendapatkannya dari dalam bekas bawang.
Menyimpan bawang dalam jumlah yang berpatutan dan mencukupi bukanlah satu pembaziran. Sebaliknya saya dapat menjimatkan masa dan wang dengan mengurangkan kekerapan berulang-alik ke kedai untuk membeli bahan yang penting ini.
Stok bawang yang mencukupi juga mampu memberikan ketenangan yakni tidak akan ditimpa kebimbangan bila bekalan bawang di kedai terputus. Simpanan yang berbaki di dalam bekas bawang membolehkan saya terus menggunakannya sebagai ramuan dalam masakan.
Lazimnya cukup atau tidak bekalan bawang di luar sana adalah ditentukan oleh faktor bekalan dan permintaan. Bekalan menjadi runcing dan di luar kawalan sekiranya berlaku bencana, kemusnahan atau tanaman yang tidak menjadi. Seperti lain-lain komoditi, pemulihan bekalan akan memakan masa yang panjang.
Dalam pada itu kemerosotan bekalan bawang biasanya disusuli oleh kenaikan harga bahan tersebut sehingga berkali-kali ganda dan ianya adalah membebankan. Namun bagi pengguna yang berhemah beban tersebut dapat diimbangi dengan mengurangkan kegunaan, beli dalam kuantiti yang lebih kecil dan beralih kepada bawang jenis lain meskipun kurang dari segi aromanya.
Tindakan paling berhemah yang boleh diambil ketika berdepan dengan kekurangan bekalan bahan keperluan utama adalah meletakkan semua kepentingan mengikut hierarki. Ini bermakna meskipun semua pihak memerlukan bawang namun pihak yang kurang memerlukannya akan memberi laluan kepada pihak yang lebih memerlukan untuk mendapatkannya.
Tindakan sehemah itu mampu mengurangkan tahap permintaan yang jauh mengatasi kapasiti bekalan dan sedikit sebanyak akan dapat mengekang kenaikan harga bawang iaitu satu pencapaian yang memberi kelegaan dan keuntungan kepada ramai pengguna.
Vaksin adalah satu lagi contoh produk untuk kegunaan ramai yang boleh mengalami kemerosotan bekalan bila permintaan terhadapnya meningkat secara luar biasa. Bila bilangan kes yang dijangkiti semasa wabak sedang memuncak adalah lebih daripada selalu, bukan saja pencarian dan permintaan terhadap ubat-ubatan akan meningkat bahkan pencarian dan permintaan terhadap vaksin akan meningkat selari.
Dalam konteks influenza, penularan penyakit tersebut adalah secara relatifnya pantas dan meluas. Kesedaran yang tinggi tentang apa yang mampu dilakukan oleh virus berkenaan dan diikuti oleh kesedaran tentang adanya rawatan dan kaedah pencegahan seperti vaksin akan tanpa berlengah-lengah membangkitkan ikhtiar ke arah memburu vaksin dan ubat-ubatan yang berkaitan.
Cumanya permintaan terhadap ubat-ubatan dan vaksin yang meningkat secara mendadak ini akan mampu menghabiskan bekalan yang terhad dalam waktu yang singkat. Kalau putus bekalan ubat-ubatan mudah disambung namun bila influenza cecah paras epidemik bekalan vaksin yang putus tidaklah mudah disambung atas beberapa sebab:
- Setiap vaksin perlu mengandungi 3 atau 4 jenis virus yang dimatikan atau dilemahkan.
- Kevirulenan virus yang pantas berubah memerlukan penukaran kandungan vaksin disaat-saat akhir.
- Kaedah penghasilan perlu dipelbagaikan untuk disesuaikan dengan permasalahan individu agar individu yang ada masalah boleh mendapatkan vaksin yang serasi untuknya.
- Adalah tidak berbaloi untuk membuat vaksin yang mampu mencegah daripada dijangkiti oleh kesemua strain yang ada sedangkan bukan semua strain terlibat dalam menyebabkan wabak pada satu-satu musim.
- Vaksin universal dijangkakan berkesan di semua pelosok dan lokaliti namun belum bersedia memasuki pasaran.
- Proses penghasilan vaksin memakan masa 6 bulan dan 70% daripada masa itu adalah diperlukan untuk pembaikkan kualiti semata-mata.
Mana-mana vaksin ada indikasi masing-masing dan meskipun semua penggunaan yang termaktub dalam indikasi mendapat vaksin yang dimahukan, bekalan vaksin yang ada biasanya tiada masalah untuk menampung keseluruhan permintaan.
Indikasi vaksin influenza adalah meliputi ramai pengguna makanya meskipun vaksin ini diberikan ikut indikasi, stok yang ada belum tentu dapat menampung kesemua penggunaan yang menepati indikasi.
Justeru, bila vaksin di kejar-kejar tanpa indikasi yang wajar ia akan meningkatkan lagi permintaan terhadap vaksin yang sudah tersedia meningkat dek banyaknya kes-kes yang memerlukan vaksin berdasarkan indikasi yang lebih wajar.
Proses membuat vaksin
Beri Laluan
Tidak dinafikan sebutan influenza itu sendiri boleh menimbulkan kegabraan dan impaknya adalah vaksin yang sepatutnya tidak betul-betul diperlukan akan di anggap sebaliknya. Maka itu vaksin dihambat di mana-mana jua sekarang ini tanpa menghiraukan lain-lain hal.
Walhal bagi penyakit kuat berjangkit, situasi menang-kalah bukalah pilihan yang tepat. Ini kerana bila si A dapat jangkitan, si B yang berdekatan meskipun sudah dapat sejarum belum tentu tidak akan dijangkiti. Justeru pilihan yang tepat adalah menang-menang dan untuk itu ciri-ciri 'enau dalam belukar...' dan 'pat pat siku lipat...' harus di tolak bulat-bulat.
Lagipun langkah-langkah kepenggunaan yang sedikit tersasar ini bukanlah kecil impaknya. Selain menutup laluan bagi penggunaan yang betul-betul menepati sasaran, ia juga menekan kesinambungan bekalan dan paling negatif adalah membuka laluan yang luas untuk harga vaksin menuju puncak. Kesudahannya tiada pengguna yang betul-betul menang.
Kemaskini terakhir: 22 Januari 2020
Home🏠
Ulasan