Pandemik Global Buat Amerika Adalah Ibarat Sudah Jatuh Ditimpa Tangga


Oleh Infomedikini


Bila kemampuan virus dipandang rendah dan bila jangkitan berlaku lalu disusuli oleh kekurangan kelengkapan itu dan ini maka dunia kini adalah ibarat sudah jatuh ditimpa tangga. Pilihan yang ada termasuklah kembali kepada asas.



Perkara-perkara asas yang berperanan besar dalam konteks persediaan individu bagi berdepan dengan serangan virus-virus berbahaya adalah:


  • Berkurung dalam rumah
  • Jarakkan diri dari jangkauan virus
  • Elakkan dari menyentuh atau tersentuh virus
  • Pakai perisai seperti sungkup muka, perisai muka, gogel, sarung tangan getah atau plastik
  • Gunakan bahan pemusnah virus

Pasif dan Aktif


Tindakan 1-4 lebih bersifat mempertahankan diri (pasif). Sementara tindakan nombor 5 adalah aktif melawan dan seterusnya memusnahkan agen yang menyerang.


Kaedah yang boleh digunakan bagi memusnahkan virus yang masuk ke dalam rumah dan terdampar pada permukaan-permukaan dan terlekat pada perkakasan-perkakasan adalah:


  • Dedahkan pada pancaran matahari berhampiran tingkap atau di beranda
  • Mop atau sental atau lap dengan peluntur yang mengandungi sodium hyporchlorite
  • Sapukan spirit gred surgikal yang mengandungi etanol.

Ketiga-tiga kaedah di atas tidak sesuai digunakan ke atas tangan atau badan. Virus yang mencemari tangan atau badan boleh dimusnahkan dengan 2 kaedah yang lebih mesra terhadap kulit:


  • Cuci dengan air dan sabun
  • Sapukan pensanitasi yang mengandungi alkohol: etanol dan propanol.

Serangan virus pada skala pandemik membuatkan permintaan terhadap sabun dan bahan pensanitasi meningkat berkali-kali ganda sementelahan produk ini adalah senjata yang praktikal lagi berkesan terhadap virus.


Sungguhpun begitu keberkesanan sabun sebagai senjata adalah bergantung kepada air, teknik mencuci dan tempoh cucian.


Sementara keberkesanan bahan pensanitasi bergantung kepada tangan yang bebas daripada minyak, gris, daki dan sebagainya. Selain itu sapuan harus menyeluruh dan paling penting adalah kandungan alkohol harus ikut piawai.


Semak Kandungan Alkohol


Produk pensanitasi yang berkesan perlu mengandungi alkohol sebanyak 60% dan lebih. Peratusan alkohol yang kurang daripada itu tidak mampu memusnahkan virus.


Permintaan luar biasa di kala ini membuka peluang kepada aktiviti menangguk di air keruh dan hasilnya adalah produk yang substandard.


Justeru pengguna harus ada cara yang membolehkan mereka mengesahkan produk pensanitasi yang digunakan adalah benar-benar mengandungi alkohol seperti yang dicatatkan pada label.


Adapun pengesahan kandungan alkohol dalam bahan pensanitasi secara tepat hanya boleh di buat di makmal. Pengesahan serupa tidak boleh dilakukan di rumah, pejabat atau pasaraya-pasaraya.


Justeru pengguna hanya ada kaedah bukan makmal untuk mengesahkan kandungan alkohol dalam bahan pensanitasi.


Kaedah bukan makmal yang boleh di buat di mana-mana jua adalah pengesanan suhu. Maksudnya ialah perbezaan suhu sebelum dan selepas bahan pensanitasi disapukan pada tangan.


Alkohol adalah sebatian kimia yang lebih cepat menyejat berbanding air dan gel. Ini bermakna bahan pensanitasi yang mengandungi alkohol sepatutnya menurunkan suhu tangan lebih banyak berbanding air dan gel.


Ujikaji di bawah ini adalah untuk melihat berapa banyak suhu tangan yang mampu diturunkan oleh ketiga-tiga bahan utama yang terdapat dalam pensanitasi iaitu gel, air dan alkohol:


Ukuran suhu tapak tangan


suhu telapak tangan

Suhu telapak tangan diukur dengan alat pengukur suhu infra merah sebelum apa-apa bahan disapukan.


Hasilnya adalah:


suhu telapak

Suhu tangan tanpa sapuan adalah: 36.70C


Sapuan alkohol pada tangan:


sapuan gel

2-3 mL gel tanpa alkohol dibubuh di atas telapak tangan dan diratakan. Suhu telapak tangan diambil selepas 30 saat. Perkara sama dilakukan selepas sapuan air dan sapuan pensanitasi tangan.


Suhu telapak tangan diukur selepas sapuan gel tanpa alkohol:


suhu turun kepada 36.4 darjah selsius

Suhu tangan turun sedikit iaitu menjadi 36.40C


Suhu telapak tangan diukur selepas dibasah dengan air tanpa alkohol:


suhu turun kepada 35.7 darjah selsius

Suhu tangan turun banyak sedikit iaitu menjadi 35.70C


Suhu telapak tangan diukur selepas sapuan pensanitasi yang mengandungi 75% alkohol:


suhu turun kepada 34 darjah selsius

Suhu tangan turun paling banyak iaitu menjadi 34.00C


Kesimpulan:


Suhu telapak tangan selepas sapuan pensanitasi adalah lebih rendah daripada daripada suhu telapak tangan yang disapu dengan gel atau air yang tidak mengandungi alkohol.


Oleh itu darjah kesejukan yang dirasakan pada kulit boleh dijadikan panduan bagi menentukan kandungan alkohol dalam bahan pensanitasi.


Pangkal ibu jari adalah kawasan paling sensitif terhadap sensasi sejuk. Oleh itu pangkal ibu jari boleh secara tidak langsung mengesan kandungan alkohol dalam bahan pensanitasi.


Bila anda diberikan bahan pensanitasi di atas telapak tangan semasa hendak memasuki pejabat atau kompleks membeli belah, colek sedikit bahan pensanitasi tadi dengan jari telunjuk kiri dan kemudian calitkan jari telunjuk ke pangkal ibu jari kanan.


Pangkal ibu jari tadi akan terasa sejuk. Kalau ianya lebih sejuk daripada air paip makanya bolehlah dianggap bahan pensanitasi yang diberikan pada anda itu mengandungi alkohol dalam peratusan yang cukup untuk memusnahkan virus.


Pensanitasi kini digunakan oleh kompleks membeli belah untuk memusnahkan virus yang mungkin berada pada setiap tangan pengguna yang mahu memasuki kompleks membeli belah.


Pensanitasi juga dibeli untuk kegunaan sendiri. Pensanitasi yang substandard boleh mendedahkan individu dan pengguna kepada jangkitan virus.


Tatkala satu dunia diserang oleh virus-virus yang tidak pilih sasaran dan negara-negara maju mati kutu dalam reaksi dan tindakan. Bilamana sistem kesihatan paling canggih tak menang tangan dan ventilator-ventilator jadi lebih laris dari pisang goreng panas namun putus asa langsung bukan pilihan. Pilihan yang kekal relevan adalah aspek pencegahan yang akan dipergiatkan lagi.


Last-Modified: Thursday, 23 December 2021 17:09:56 GMT


Ulasan

Terbaru

⬅Tatal ke kiri

AKAN DATANG

Animasi elektromagnetik dan fotoelektrik: artikel mengenai foton dan perubatan akan muncul tak lama lagi.

Efek Fotoelektrik

Oleh Infomedikini

Anod Katod - + Wayar Bateri Meter Amp Ulang

Animasi fotoelektrik

Animasi penjanaan X-ray

Oleh Infomedikini

Pecutan elektron Elektron Nukleus X-ray Ulang Maaf, browser anda tidak menyokong SVG
Covid-19
Pandemik

⬅Tatal ke kiri