Catatan

Tunjukkan catatan dari April, 2020

Hanya Ada Satu Jalan Yang Panjang Menuju Pemulihan Norma-Norma Asal

Oleh: Infomedikini


J
angkitan viruskorona jenis novel telah dikesan melanda Wilayah Wuhan di China pada penghujung bulan Disember 2019. Pengesanan virus tersebut telah dibuat dengan kaedah makmal dan bukan dengan lain-lain kaedah.

Makna Tersirat


Nama yang diberikan kepada virus ini adalah Covid-19. Nama itu ada makna di belakangnya iaitu sama seperti Rempuhan 911 yang ada makna di belakangnya. Covid-19 adalah merujuk kepada serangan coronavirus yang bermula pada 2019 sementara WTC-911 adalah merujuk kepada serangan ke atas WTC pada 11 September, 2001.


Kemungkinan bumi diserang wabak susulan dari kemunculan virus novel terutama virus pelompat spesis telah lama diketahui. Bumi yang berevolusi ikut pengalaman sentiasa bersedia dengan sebarang kemungkinan iaitu sebagaimana bersedianya Kota Metropolitan Ground Zero dengan sebarang kemungkinan selepas insiden 911.


Reaksi kesihatan awam global terhadap ketibaan virus-virus baru adalah dipandu oleh satu tatacara operasi standard iaitu Pandemic Preparedness Plan. Panduan tersebut berubah-ubah dari semasa ke semasa agar bersesuaian dengan pandemik yang melanda.


Virus pandemik adalah licik memperdayakan sasarannya hinggakan negara maju boleh termakan tanggapan terpesong yang memperkecil-kecilkan kemampuan sebenar virus tersebut. Justeru tidak hairan kalau negara-negara maju terpinga-pinga dan terkial-terkial bila diasak oleh pandemik global.


rempuhan world trade center

Rempuhan 911 punca Kota Metropolitan NY rentan terhadap Covid-19?


Pandemik asalnya bermula di epicenter. Dari situ seperti api membakar sekam ia menjalar keluar ke pelbagai arah dan dalam diam-diam ia sudah berada hampir di mana-mana.


Bila wabak menjalar merentasi sempadan ia berubah daripada isu dalam sempadan menjadi isu rentas sempadan. Pendekatan setempat tidak cocok buat isu rentas sempadan sebaliknya pendekatan rentas sempadan lebih cocok buat isu rentas sempadan.


Baru Belum Banyak Yang Tahu


Virus pandemik bukanlah calang-calang mikrob. Ciri-ciri yang belum diketahui masih jauh mengatasi ciri-ciri yang telah diketahui. Berikut adalah ciri-ciri yang telah diketahui:


1. Jangkitan virus ini boleh menimbulkan komplikasi yang membawa maut.

2. Manusia tidak mempunyai imuniti terhadap virus baru justeru itu sesiapa jua adalah rentan yakni mudah dijangkiti.

3. Virus boleh menular terus dari satu individu kepada individu yang lain hingga ke tahap pandemik.


Acaman wabak seumpama Pandemik Flu 1918 bukanlah olok-olok. Harga yang perlu dibayar bagi pandemik yang dipandang dengan sebelah mata yang terbuka adalah tidak terkira mahalnya.


Masa Itu Emas


Impak negatif menyeluruh dan beban berat yang perlu ditanggung oleh sistem kesihatan menuntut kesegeraan dalam menangani sebuah pandemik. Ini bermakna faktor masa dalam situasi pandemik adalah seumpama emas. Namun bila Covid-19 mengambil masa 3 bulan untuk ditingkatkan menjadi pandemik bayangkan berapa banyak peluang keemasan yang terbuang begitu saja.


Sememangnya kebelakangan ini dunia tidak menang tangan dengan pelbagai ancaman penyakit yang sama ada telah kambuh semula atau yang baru muncul. Keadaan tidak menang tangan itu memberi ruang kepada virus novel pintar lagi licik untuk terlepas dari pengesanan. Justeru timbul pertanyaan ini: "Apa yang dunia perlu ada bagi mengelak pandemik terlepas dari pengesanan?"


Sesungguhnya dunia sudahpun memiliki semua jenis alat pengesanan dan pertahanan seperti jet pejuang Raptor, kapal selam/perang berkuasa nuklear, teleskop Hubble, CCTV berteknologi AI, radar tercanggih dan satelit pengintip namun sayang seribu kali sayang semua itu adalah jawapan yang tersasar.


Pandemik bukan saja melibatkan isu rentas sempadan malah ia jauh lebih rumit dari itu. Pandemik adalah isu sejagat. Langkah pertama menuju pembendungan virus adalah bermula di epicenter. Langkah tersebut perlulah berpandukan petua orang dulu-dulu iaitu "Alang-alang menyeluk pekasam usah hanya separuh lengan".


Hubei adalah epicenter bagi Covid-19. Justeru ia paling awal disandarkan harapan dan dibebankan dengan kepayahan menangani serangan viruskorona agar tidak menular keluar dari pusat wabak.


Realiti pembendungan pandemik adalah berat pada mata yang memandang dan lebih berat lagi bahu yang memikul. Kecaman dan kritikan adalah beban tambahan yang perlu dipikul oleh bahu yang gagal merealisasikan dunia yang bebas daripada pandemik global.


Setakat tarikh artikel ini ditulis pandemik ini telah memasuki usia 7 minggu. Sesungguhnya banyak yang telah dilalui dan disaksikan dalam tempoh yang singkat ini. Semua itu boleh disimpulkan seperti berikut:


1. Putaran bumi terasa lebih perlahan daripada biasa. 7 minggu adalah seumpama 7 bulan.

2. Mencegah penyakit kronik bukan berjangkit sebelum datangnya pandemik adalah seumpama persediaan payung sebelum hujan.

3. Efek yang ditinggalkan oleh habuk dan debu runtuhan 911 adalah 18 ribu permasalahan paru-paru. Sumbangannya kepada kadar kematian Covid-19 tertinggi di dunia akan terus diperdebatkan.

4. Tak perlu menunggu satu sidang kemuncak bergerak ke satu sidang kemuncak yang berikutnya untuk proses nyahcemar atmosfera berlaku. Hanya dengan satu sekatan iaitu Sekatan Perjalanan Sedunia membolehkan bumi mendapat kembali udara yang segar.

5. Ketika kesihatan dan keselamatan dunia berada dalam sebiji telur di hujung tanduk, menjadi enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing adalah reaksi pentingkan diri sendiri yang lahir dari pemikiran yang sempit dan akan menyempitkan usaha penanganan pandemik di peringkat sedunia.

6. Betapa kemajuan dan kemodenan yang tidak seimbang hanya mampu menjadi kalut dan rata-ratanya berpaut pada beberapa bidan terjun.

7. Meskipun kes positif Covid-19 sudah mencapai angka 3 juta namun didepan angka itu hanya ada tanda koma (,). Angka tersebut akan terus membesar tanpa ada titik noktah didepannya.

8. Cabaran besar bagi Main Street adalah angka kais pagi makan pagi kais petang makan petang yang meningkat selari dengan angka jangkitan Covid-19. Sementara cabaran besar buat Wall Steet adalah mimpi The Great Depression yang semakin menjadi kenyataan.

9. Putaran ganas pandemik adalah penghalang bagi kes jangkitan yang tinggi menurun ke angka satu digit.


Carta alir pandemik

Putaran ganas Covid-19


Alah Bisa Tegal Biasa


Sama ada bersetuju atau tidak, dunia belum bersedia untuk meninggalkan perapatan sosial dan beberapa rutin yang dolu-dolu. Kalau itulah halnya, bolehkah sebahagian besar daripada kebiasaan-kebiasaan yang lama itu pulih kembali? Kalau boleh bagaimana?


Jawapan bagi persoalan di atas adalah terletak dalam cengkaman pandemik itu sendiri. Ia akan diketahui sejurus selepas pandemik tidak lagi mencengkam.


Satu yang jelas adalah apa jua ketumbukan fizikal tidak mampu membebaskan cengkaman tersebut. Mungkin Lockdown berterusan mampu melakukannya tetapi pendekatan sebegini tak mampu bertahan lama.


Justeru harapan yang belum pudar dan boleh menjadi sandaran adalah IMUNITI. Imuniti berkelompok sebesar 30-70% adalah peratusan dalam kelompok yang menghasilkan antibodi (yang berkesan lagi cukup) bagi menangkis dan seterusnya melepaskan cengkaman Covid-19.


Cumanya paras imuniti berkelompok yang diperlukan adalah masih jauh panggang dari api. Contohnya, meskipun paling kuat dihujani oleh Covid-19, jumlah saringan positif antibodi di New York hanyalah sekitar 14% saja.


Kini tinggal satu saja jalan menuju imunitu kelompok 30-70% iaitu kerjasama global di puncak skala epik penghasilan vaksin yang berkesan lagi selamat secara massa. Masa itu emas. Kesegeraan adalah kritikal sebelum gelombang berikut membadai.


Last-Modified: Monday, 27 December 2021 15:56:34 GMT

Bila Encik Centric Tersepit Di Antara Uncle Sam Dan Tembok Besar, Who Cares?

Bidalan berupa 'mencegah lebih baik dari merawat' adalah relevan untuk dipakaikan kepada banyak jenis penyakit berjangkit dan juga penyakit tidak berjangkit terutamanya yang memudaratkan. Malahan bidalan ini teramatlah terpakai bagi penyakit-penyakit dalam kategori pandemik.


Pandemik global berimpak luar biasa bukanlah acap kali berlaku. Kali terakhir pandemik sebegitu turun menjenguk bumi adalah 100 tahun yang lampau iaitu pada awal kurun ke-20. Ia dikenali sebagai Pandemik Flu 1918.


Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) pada 2003 adalah pandemik pertama bagi kurun ke-21. Meskipun saiznya adalah kecil iaitu lebih kurang 8,000 kes di serata dunia tetapi kadar mortaliti SARS adalah agak tinggi dan menggerunkan iaitu setinggi 10%.


Justeru bila berbicara tentang pandemik, perkataan pandemik itu saja sudah cukup untuk menerbitkan perasaan gerun. Namun aspek yang paling menggerunkan adalah impak langsung dan impak tidak lansung susulan daripada pandemik ini nanti iaitu magnitudnya mungkin mencecah paras yang tidak pernah dicecah sebelum ini.


Kalau itulah hal dan magnitudnya maka bidalan di atas bukan saja perlu dipakai bagi sebuah pandemik bahkan ianya perlu sangat dipakai secara berterusan dan tanpa gagal.


Sesuatu yang bertumbuh mudah dipatah-patahkankan ketika ianya masih lagi rapuh iaitu di peringkat percambahan sebaliknya ia sukar pula dipatah-patahkan sesudah menjadi keras seperti sebatang pokok.


Tidak dinafikan betapa sukarnya untuk mengintip kehadiran sebutir virus sebelum adanya penggandaan. Ia adalah sama seperti kesukaran mencari sebutir planet biru dalam sebuah galaksi namun teramatlah berbaloi bila ada kejayaan.


Melihat kepada apa yang telah pandemik ini lakukan adalah berbaloi untuk menjarakkan bumi daripada ambang pandemik. Lebih berbaloi bila bumi dapat ditarik daripada terjerumus ke dalam fasa kegerunan yang tidak pernah dilihat dan dilalui sebelumnya.


Mencegah lebih baik dari merawat bagi pandemik bukanlah mustahil dicapai. Sifat-sifat pandemik itu sendiri seolah-olah memberikan ruang dan peluang kepada kerangka pencegahan di susun dengan rapi. Sifat-sifat tersebut adalah seperti berikut:


Pandemik adalah seumpama percikan kecil api yang memulakan kebakaran hutan. Pengesanan awal adalah memudahkan kebakaran tersebut dipadamkan. Sebaliknya kebakaran yang marak merentasi sempadan adalah sukar dipadam.


1. Kemaraan awal pandemik adalah seumpama tiupan angin sepoi-sepoi basa. Dalam beberapa waktu barulah ia mara seperti Taufan Katrina. Sungguhpun membantai, ketibaannya bukanlah mendadak. Ianya didahului oleh tanda-tanda yang jelas iaitu dikenali sebagai eye of cyclone.


2. Kemunculan pandemik yang dibayangi ketelusan yang hilang tidaklah seperti filem The Pearl Harbor iaitu pihak yang diserang tidak sempat berbuat apa yang perlu.


3. Kajian genom yang dilakukan oleh Universiti Cambridge menunjukkan Covid-19 sudahpun mendarat seawal bulan September 2019 lagi. Walhal maklumat terawal tentang virus ini pertama kali dimuat turun pada penghujung Disember 2019.


4. Kajian yang sama mendapati virus korona Wuhan berkesempatan melahirkan 2 generasi baru yang lebih pintar iaitu generasi B dan generasi C dalam tempoh beberapa minggu sahaja. Ini bermakna pandemik yang ada ini bukan dioperasikan oleh satu generasi virus korona tetapi 3 generasi.


Sifat-sifat pandemik di atas sepatutnya telah membuka banyak ruang dan peluang bagi ikhtiar pengesanan dan pembendungan awal ke atas epicenter (Wuhan) dilancarkan tanpa kompromi. Strateginya adalah jelas: nasi tidak boleh menjadi bubur, sesal dahulu dapatan sesal kemudian tidak berguna.


Sebaik saja virus generasi pertama melompat sempadan, nasi sudah jadi bubur. Hakikatnya tiada siapapun terduga bahawa nasi akan menjadi bubur. Lebih tidak terduga adalah kelahiran 2 generasi virus-virus pelapis.


Semua yang berjalan kini dirasakan semacam terhenti. Jalan ke depan dipenuhi ranjau berduri tetapi masih ada bubur yang menanti sementara jalan ke belakang langsung tidak menuju ke depan.


Meskipun jalan ke belakang menuju retrospektif dan tidak menuju ke depan namun di situ tersimpan gambaran tentang jalan yang sepatutnya dilalui di masa-masa yang mendatang.


Dilajakkan ke depan, jalan yang mahu dilalui biarlah menuju ke sebuah organisasi global rentas sempadan yang mempamerkan perisian dalaman seperti berikut:


  1. Neutral sepenuhnya.
  2. Tidak teragak-agak untuk menekan suis amaran sebaik sahaja tanda-tanda awal pandemik mula kelihatan.
  3. Ada taring yang cukup kuat untuk menutup mana-mana pintu sempadan yang memulakan epicenter pandemik.
  4. Sentiasa meletakkan kesihatan dan keselamatan global di tempat teratas.

Waima kedatangan taufan sekalipun ada tanda2 awal iaitu terbentuknyaEye of cyclone:

Mata taufan


Last-modified: Fri, 30 Sep 2022 16:00:00 GMT

Serius Nak Tahu Asal Usul Pandemik? Moh Baca Dan Simpulkan

Oleh: Infomedikini


Adakah benar virus boleh dicipta di makmal? Soalan ini adalah rumit dan menduga akal untuk dijawab. Maklumat yang boleh dipercayai menyatakan bahawa kandungan dan urutan genetik virus adalah boleh diubah yang membawa maksud perubahan boleh dilakukan terhadap virus tetapi bukan bermakna virus baru boleh dihasilkan secara menggabungkan kesemua komponen-komponen asas virus. Contoh yang setara adalah bila enjin kereta diganti dengan enjin yang baru bukanlah bermakna kereta baru telah dihasilkan. Apa yang dihasilkan adalah kereta asal yang enjinnya telah menjalani modifikasi.


Modifikasi


Hasil daripada modifikasi komponen genetik virus adalah pembaharuan sifat luaran virus tetapi sifat-sifat dalaman virus tidak ikut berubah meskipun fizikal luarannya berjaya diubah. Contoh yang boleh membantu kefahaman di sini adalah tentang Adolf Hitler. Hitler bersikap seperti Hitler bukanlah terletak pada misai beliau tetapi terletak di dalam sanubari. Makanya meskipun Hitler boleh di klon namun nilai-nilai dalaman seperti perasaan, ihsan, empati, naluri dan emosi adalah aspek yang tidak boleh diklon dan berpindah milik.


Umumnya virus-virus korona nampak sama saja namun keupayaan setiap virus dalam menjana pandemik adalah tidak sama. Ini kerana sifat upaya pandemik setiap virus adalah sifat dalaman dan bukan sifat luaran. Makanya meskipun virus biasa-biasa boleh dimodifikasi menjadi serupa seperti virus pandemik namun keserupaan itu adalah terhad kepada sifat luaran dan bukan sifat dalaman. Dalam kata lain virus bukan pandemik tidak akan berubah menjadi virus berpotensi pandemik dengan hanya menukar sifat luaran virus yang biasa-biasa itu.


Pandemik global biasanya menular dengan pantas dan meluas. Kes yang dijangkiti biasanya boleh mencecah angka puluhan juta. Ini bermakna virus yang mampu menghasilkan pandemik global bukanlah virus yang biasa-biasa. Berikut adalah senarai beberapa pandemik global dan peristiwa-peristiwa besar yang berlaku dalam tempoh 2 dekad yang berlalu:


Tahun Peristiwa
1861 Perang Saudara Amerika
1889 Pandemik Flu
1914 Perang Dunia Pertama
1918 Pandemik Flu Sepanyol
1945-53 WW2/Perang Korea
1957 Flu Asian
1991 Perang Teluk 1
2003 SARS-1
2003-11 Perang Teluk 2
2009 Pandemik Flu Swine 2009
2011-20 Perang Teluk Kini
2019 SARS-2 atau COVID-19

Konspirasi?

Kronologi di atas menampakkan pandemik global telah lama berlaku secara berulang-ulang kali. Jelaslah bahawa pandemik global tiada kaitan dengan perbuatan sekumpulan manusia atau konspirasi mana-mana koalisi kuasa memandangkan pengetahuan tentang virus dan kejuruteraan genetik pada 2 dekad yang lalu adalah di peringkat paling asas.


imej pandemik flu 1918

Suasana Pandemik Flu 1918


Virus pandemik flu 1918

Virus H1N1 penyebab pandemik flu 1918


Kini pandemik global datang lagi. Kuasa- kuasa besar hanya mampu menuding jari ke arah satu sama lain. Nampak macam serius tetapi di belakangnya hanyalah gimik politik dan percakaran mulut dalam kalangan kuasa-kuasa besar yang mahu menjaga kepentingan dan periuk nasi sendiri.


Bila sebut kaki bola ia ada kaitan dengan kegilaan bermain bola. Sementara kaki perang melihat peperangan adalah satu permainan. Kegilaan berperang secara berterusan bukanlah satu rahsia. Kegilaan ini mudah dirangsang meskipun atas justifikasi yang tak masuk akal.

Wabak Covid-19 adalah sangat serius dan kalau betullah ianya wabak buatan maka di situ ada justifikasi penuh untuk percakaran mulut yang berpanjangan ini bertukar jadi percakaran fizikal dan darah boleh dilihat tumpah merata-rata.


Nah! percakaran fizikal tidak berlaku bukan kerana para pakar sudah sedia maklum akan asal usul pandemik tetapi kuasa-kuasa besar sendiri teramat maklum iaitu tiada pihak atau koalisi yang berupaya menghasilkan virus-virus berpotensi pandemik.


Perang dan Pandemik


Memandangkan asal usul pandemik global belum di pastikan kebenarannya makanya pandangan dalam soal ini adalah terbuka luas. Bila saya tumpukan pandangan ke arah urutan peristiwa di atas apa yang menyerlah adalah pandemik global yang muncul secara berselang seli dengan peperangan seolah-olah ada kaitan antara peperangan dan kemunculan pandemik global.


Setakat ini belum ada kuasa-kuasa besar yang mengatakan mereka nampak akan adanya kaitan antara pandemik global dan pertumpahan darah. Mereka tidak nampak darah yang tumpah dan membasahi bumi mampu menjadi sumber bahan binaan buat virus melengkapkan struktur, menjadi aktif dan seterusnya menularkan penyakit.


Penyakit boleh dikategorikan kepada akut, kronik, berjangkit, tidak berjangkit dan lain-lain namun kategori berikut adalah sedikit berlainan:


  1. Sengaja: contohnya sengaja minum racun. Bahaya tetapi boleh dicegah 100%.
  2. Malang: termakan makanan basi lalu terkena sakit perut: Boleh dicegah tetapi tidak 100% namun boleh dirawat
  3. Cuai - bekerja dalam persekitaran berhabuk tetapi tidak pakai alat pelindung muka. Boleh dicegah. Kalau dibiarkan jadi kronik ia sukar sembuh sepenuhnya.
  4. Dugaan/ujian: denggi adalah bahaya tetapi boleh dicegah meskipun sukar.
  5. Balasan/hukuman:
    a) Hukuman setempat (Ebola, Zika) - Mudah menular dalam lokaliti tertentu, bahaya, vaksin dan rawatan sukar diperoleh.
    b) Hukuman universal: Pandemik Flu Sepanyol, Pandemik Flu Asia, Pandemik SARS dll. Menular merata-rata, sekali dalam tempoh puluhan tahun, pencegahan adalah sangat sukar, tiada vaksin dan ubat ketika wabak berada di puncak.

Ada banyak sebab peperangan meletus tetapi pencetusnya tidak banyak yang terkena waima serpihan-serpihannya. Sebaliknya warga dunia yang tidak berdosa yang sering terkena padahnya:


"Mereka ketakutan lalu bertempiaran mencari tempat berlindung. Mereka berkurung dalam kubu yang sempit dan tidak berani keluar walau sesaat. Kerosakan kolateral tidak terhingga. Banyak nyawa yang melayang dan jasad bergelimpangan. Hospital kehabisan katil, peralatan, ventilator dan ubat-ubatan. Makanan di catu dan ada yang kebuluran. Kebanyakan mereka hanya mampu menadah tangan ke arah langit."

Doa yang dipohon oleh mangsa yang dianiaya cepat menjadi kenyataan. Kenyataan itu sudah berada di depan mata. Pada sudut yang negatif ia tersangatlah terang hingga tidak perlu disuluh bahawasanya pandemik global adalah ubat pahit yang dikembalikan kepada kaki-kaki perang untuk mereka merasai kepahitannya. Pada sudut yang positif ia adalah peluang untuk dunia merasai apa yang dirasai oleh mereka yang tersepit dicelah-celah kaki perang.


Kalau itulah kebenarannya, pandemik yang ada ini bukanlah yang terakhir. Selagi penganiayaan, penindasan, genosid, kaki perang belum bertaubat dan darah tidak berdosa terus membasahi bumi, selagi itulah virus berpotensi pandemik global akan membawa mesej baru, peringatan baru dan pengajaran baru.


Wal Hasil...


Berbalik kepada pandemik semasa, sudah nampak semacam ada cahaya di hujung terowong bilamana mesej di bawah ini menular lebih pantas daripada Covid-19:


twit oleh trump


Al-sedihnya, 2 minggu selepas cahaya dihujung terowong itu diviralkan ia tiba-tiba menjadi malap bila cahaya itu dikelamkan oleh tiupan angin antiklimaks:


"Trump Warns Iran of Heightened Retaliation for Any Attacks on U.S. Troops - The New York Times: April 1, 2020"

*Nota Kaki: Bila walhasil balik asal itu fasal tak hasil.


Last-Modified: Thursday, 23 December 2021 21:56:34 GMT

Terbaru

⬅Tatal ke kiri

AKAN DATANG

Animasi elektromagnetik dan fotoelektrik: artikel mengenai foton dan perubatan akan muncul tak lama lagi.

Efek Fotoelektrik

Oleh Infomedikini

Anod Katod - + Wayar Bateri Meter Amp Ulang

Animasi fotoelektrik

Animasi penjanaan X-ray

Oleh Infomedikini

Pecutan elektron Elektron Nukleus X-ray Ulang Maaf, browser anda tidak menyokong SVG
Covid-19
Pandemik

⬅Tatal ke kiri